Sunday, May 19, 2024
28.2 C
Brunei

    -

    BIBD lancar Anugerah Pemimpin Kemampanan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengumumkan pelancaran Anugerah Pemimpin Kemampanan BIBD yang berlangsung hari ini.

    Anugerah tersebut bertujuan untuk mengiktiraf dan meraikan usaha belia di negara ini dalam membina masa depan yang lebih mampan dan ia merupakan anugerah pertama yang diperkenalkan di negara ini yang bertujuan memperkasakan serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang bagi mengambil inisiatif dalam menangani isu alam sekitar, cabaran sosial dan ekonomi, serta menjana masyarakat yang berdaya tahan. Pengumuman mengenai anugerah itu telah dibuat pada Majlis Penutup Dialog Belia SDG: Pemimpin Kemampanan Masa Depan yang berlangsung di Jabatan Perdana Menteri.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri menjelaskan bahawa anugerah ini akan menjadi platform penting untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada belia yang telah menunjukkan komitmen luar biasa terhadap amalan dan inisiatif kemampanan yang dapat membantu negara mencapai matlamat pembangunan yang mampan.

    Belia masa kini semakin meningkatkan perhatian terhadap isu-isu kelestarian demi melindungi planet bagi generasi akan datang.

    Awang Junaidi menyatakan bahawa belia adalah pengerak utama dalam menghadapi cabaran ini, dengan memperlihatkan semangat, dedikasi, dan idea-idea inovatif dalam membentuk dunia yang lebih mampan. Anugerah tersebut juga mempunyai beberapa kategori, termasuk hadiah bagi Kategori Kluster seperti Kluster Pendidikan, Kluster Kesihatan, Kluster Alam Sekitar, dan Kluster Pekerjaan.

    Setiap juara dalam setiap kluster akan menerima hadiah tunai bernilai $3,000. Selain itu, terdapat juga Anugerah Pemimpin Kemampanan BIBD bagi Pemimpin Lelaki Paling Mengilhamkan dan Pemimpin Wanita Paling Mengilhamkan, yang masing-masing akan menerima Akaun BIBD Aspirasi (Sijil Deposit) bernilai $1,000.

    Kategori ketiga adalah Projek Kelestarian Keseluruhan Terbaik, di mana pemenang akan dianugerahkan hadiah tunai bernilai $3,000.

    Anugerah berkenaan akan mengiktiraf individu-individu yang secara aktif terlibat dalam usaha mencapai dunia yang lebih mampan dan inklusif. Ini melibatkan pelaksanaan projek-projek mesra alam, promosi pembaharuan tenaga, pendidikan awam mengenai kelestarian, serta advokasi untuk keadilan sosial.

    Pelaksanaan anugerah ini merupakan sebahagian daripada komitmen BIBD sebanyak $2 bilion terhadap pembiayaan kemampanan di bawah Rangka Kerja Kelestarian BIBD dan usaha berterusan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs).

    Majlis penutupan dialog semalam turut dihadiri oleh pihak pengurusan BIBD.

    Awang Junaidi ketika bergambar ramai bersama warga BIBD yang hadir pada majlis tersebut. -Gambar serahan JPM
    Awang Junaidi semasa menerima tanda penghargaan daripada Setiausaha Tetap (Wawasan), Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...