Tuesday, May 7, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Sufina Raihani berjaya tamat Program IVLP

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam mengumumkan bahawa Pegawai Tugas-tugas Khas di Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Dayang Sufina Raihani binti Haji Mohd Salleh telah berjaya menamatkan Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP) mengenai Krisis Iklim: Bekerjasama untuk Generasi Akan Datang di AS.

    Dari 25 Februari dan 18 Mac lalu, Dayang Sufina Raihani menyertai bersama lebih 70 pakar iklim, penyokong dan penggubal dasar dari lebih 60 negara untuk menangani krisis iklim dan kesan-kesannya.

    Para peserta melawat Washington, DC, untuk mengetahui tentang usaha kerajaan persekutuan AS untuk mengurangkan krisis iklim, dan San Francisco, California, untuk mempelajari tentang inisiatif inovatif oleh industri untuk menambah baik dan memulihkan alam sekitar.

    Selain itu, mereka juga ke New Orleans, Louisiana, bagi melihat cabaran yang dihadapi rantau dalam menangani keperluan untuk berubah daripada industri ekstraktif sambil secara aktif menguruskan bencana, pemindahan dan ketidakadilan iklim, dan Miami, Florida, bagi mengambil bahagian dalam usaha tempatan demi menyokong dan melaksanakan amalan mampan.

    Selepas tamatnya program itu, Dayang Sufina Raihani bertemu dengan Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland untuk membincangkan pengajaran yang diperoleh daripada program tersebut dan meneroka bagaimana Brunei boleh bekerjasama dengan AS untuk memerangi krisis iklim.

    PYT Caryn McClelland turut menyampaikan sijil tamat kepada Dayang Sufina Raihani.
    Puan Yang Terutama dipetik berkata, “Menangani krisis iklim adalah pusat dasar luar negara, diplomasi dan keselamatan negara AS.

    PYT Caryn McClelland semasa menyampaikan sijil tamat Program kepada Dayang Sufina Raihani.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Diplomat Afghanistan letak jawatan susulan kes seludup emas AS$2 juta

    NEW DELHI, 6 MEI - Seorang diplomat tertinggi Afghanistan di India telah meletak jawatan beberapa hari selepas dia dilaporkan ditangkap oleh pihak berkuasa lapangan...