Friday, May 3, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Biodiversiti badimalika berdepan kepupusan

    KATHMANDU – Ketika Ram Bahadur Baniya, Datuk Bandar Budhiganga sekarang di daerah Bajura, melawat Badimalika di tanah tinggi Bajura buat kali pertama pada 1995, dia sangat teruja melihat padang rumput yang subur dan keindahan pemandangannya. Memori itu masih segar dalam ingatannya.

    Badimalika terletak di antara 2,000-4,200 meter di atas paras laut dan terbentang merentasi perbandaran Triveni, Badimalika dan Budhinanda, dan Perbandaran Luar Bandar Jagannath di daerah Bajura; Perbandaran Luar Bandar Sanni Triveni di daerah Kalikot; dan Perbandaran Luar Bandar Ramaroshan di daerah Achham.

    “Saya tidak pernah melihat bunga seperti di Badimalika ada di tempat lain,” kata Baniya.

    “Di mana-mana sahaja awda melihat, terdapat bunga yang mekar. Tidak ada tempat yang tidak dipenuhi bunga ketika itu.”

    Ketika pertama kali tiba di Sotapatan, Ghodapatan, Bhiti Chhirna, Budhimaikothan, Triveni dan Lauri Binai di kawasan Badimalika, semua penjuru tanah tinggi dipenuhi beribu-ribu bunga tanpa melihat tanah kosong, tambah Baniya. Dia telah melawat Badimalika sudah sebanyak enam kali.

    Gambar menunjukkan orang ramai melawat Badimalika. – ANN/The Kathmandu Post
    Kambing biri-biri meragut di dataran tinggi Badimalika di Bajura. – ANN/The Kathmandu Post
    Badimalika bukan sekadar kemegahan agama dan budaya yang penting di Wilayah Sudurpaschim tetapi juga penting dari sudut pandangan biodiversiti. – ANN/The Kathmandu Post
    Kawasan yang terkenal dengan bunga itu telah berkurangan bilangannya sejak kebelakangan ini. – ANN/The Kathmandu Post

    “Tetapi bilangan bunga telah berkurangan sejak kebelakangan ini,” keluh Baniya, selepas kali terakhir melawat kawasan Badimalika pada bulan Ogos.

    “Sekarang bunga sudah kurang berbanding kali pertama saya ke sana. Rumpai dan tumbuh-tumbuhan lain telah menggantikannya. Saya sangat sedih melihat kawasan kuil Triveni, Daudailagne, Lauri Binai Patan dan Badimalika yang dahulunya kelihatan seperti tapak semaian bunga.”

    Pesta besar dianjurkan di kuil Badimalika setiap tahun pada Janai Purnima, perayaan Hindu yang sering jatuh pada bulan Ogos. Pelawat bukan sahaja dari Nepal tetapi juga India datang ke sini dengan kepercayaan bahawa keinginan seseorang akan dipenuhi jika mereka melawat kuil. Wakil rakyat seperti Baniya dan pelawat tetap lain ke kuil bimbang tentang kemerosotan beransur-ansur kawasan indah ini.

    Jamuna Giri, seorang wanita berusia 69 tahun dari daerah Doti, telah melawat Badimalika sebanyak 13 kali, pertama kalinya pada 50 tahun lalu.

    “Setengah abad yang lalu, ia penuh dengan bunga dan herba perubatan yang jarang ditemui,” katanya.

    “Hari ini, ia kelihatan tandus.”

    Tambah Giri, penyakit kroniknya semakin baik selepas memakan Madhujadi, herba ubatan yang dikutip dari kawasan Badimalika.

    “Tetapi herba itu telah pupus hari ini,” katanya.

    “Herba seperti Madhujadi, Dhupjadi, Padchal, Biojadi, Ninaijadi, Bhutkesh dan bunga seperti Bramhakamal, Jogiphool, Tukiphool, Bukiphool dan Soonfool yang ditemui dengan banyaknya di kawasan tanah tinggi telah berhenti tumbuh sejak 10-15 tahun yang lalu.”

    Penduduk tempatan menyalahkan penuaian berlebihan herba kerana kehilangannya. “Pada masa ini saya tidak dapat menjumpai mana-mana bunga herba itu tetapi ketika itu ia ada di sekeliling,” kata Giri. “Dari semasa ke semasa, keindahan kawasan Badimalika telah merosot dengan ketara.”

    Menurut penduduk tempatan, di kawasan Badimalika terdapat herba seperti Panchaunle, Sunpati, Chiraito, Pakhanbhed, Kaulo, Chutro dan Pavan Kaulo. Berpuluh-puluh herba berharga yang mempunyai nilai perubatan tinggi seperti Bishjara, Madhujadi, Dhupjadi, Banlasun, Biojadi dan Ninaijadi juga ditemui. Pada masa yang sama, ratusan spesies bunga lain seperti Brahmakamal, Buki phool, Jai, Juhi, Chameli, Sun Jai, Indrakamal telah menjadi jarang ditemui.

    Badimalika bukan sekadar kemegahan agama dan budaya yang penting di Wilayah Sudurpaschim. Kawasan ini juga penting dari sudut pandangan biodiversiti. Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan risiko kepupusan bukan sahaja herba dan bunga yang berharga. Biome mungkin telah terjejas berikutan kegagalan untuk memulihara kawasan Badimalika.

    Hampir tiada kehadiran pihak kerajaan di kawasan Badimalika kecuali semasa pameran Janai Purnima. Mengambil kesempatan daripada kelemahan keselamatan sedemikian, orang dari Bajura, Achham, Kalikot, Jumla dan Mugu mengumpul herba ubatan secara haram dan memburu haiwan liar dan burung. Pelbagai spesies burung dan haiwan juga berada di ambang kepupusan, menurut penduduk tempatan.

    “Jika tumbuhan dan haiwan terus lenyap seperti ini, bagaimana Badimalika akan mengekalkan kepentingannya?” kata Damma Thapa, orang tempatan.

    “Aktiviti haram telah berterusan selama bertahun-tahun tetapi tiada siapa yang menghalangnya.”

    Kambing biri-biri dan kambing gunung dari pelbagai daerah dibawa ke kawasan Badimalika untuk meragut dari April hingga Oktober. Ini memudaratkan biodiversiti kawasan itu, menurut pakar.

    Beribu-ribu biri-biri, kambing gunung, kuda dan kerbau dari daerah Achham, Bajura, Kalikot, Jumla, Humla dan Mugu dibawa ke Badimalika untuk meragut selama enam bulan setahun, kata Devendra Shah, seorang pekerja sosial yang juga penduduk Perbandaran Budhiganga di Bajura.

    “Haiwan ini dibiarkan bekeliaran di tanah tinggi,” kata Shah.

    “Selain itu, pemburuan haram dan pengumpulan herba secara sembarangan telah memusnahkan keindahan semula jadi kawasan itu. Tiada sebarang kehadiran pihak kerajaan.”

    Pencinta alam sekitar mencadangkan memberi keutamaan yang tinggi kepada perlindungan dan pemuliharaan kawasan tersebut.

    “Tempat seperti Badimalika dengan padang rumput melebihi 4,000 meter dengan ratusan spesies tumbuhan adalah jarang berlaku bukan sahaja di Nepal tetapi juga di seluruh dunia.

    “Kerajaan hanya mengutamakan hutan dan tanah lembap, tetapi padang rumput adalah sama pentingnya untuk melindungi biodiversiti. Tidak ada masa untuk kehilangan jika kita mahu memelihara ekosistem padang rumput seperti itu,” kata Narayan Ghimire, profesor madya botani di Universiti Tribhuvan.

    Malahan agensi tempatan yang bekerja dalam bidang pemuliharaan nampaknya gagal menyedari bahawa biodiversiti di kawasan Badimalika sedang mengalami krisis. Menurut Hari Yadav, pemangku ketua pejabat bahagian hutan di Bajura, belum ada kajian menyeluruh untuk menentukan herba, bunga dan haiwan liar yang telah mencapai tahap kepupusan.

    “Banyak herba dan bunga telah hilang dari kawasan itu. Pejabat itu juga telah meminta dana kerajaan persekutuan untuk kajian, tetapi belum ada maklum balas yang pasti,” kata Yadav.

    Dia mengesyaki perubahan iklim juga bertanggungjawab terhadap kehilangan herba berharga. Pengumpulan herba terlarang seperti Panchaunle dan penangkapan haiwan liar yang terancam seperti lophophorus dan kasturi rusa terus tidak dibendung.

    “Apabila seseorang mengadu tentang sebarang aktiviti haram, pejabat menghantar pengawal hutan untuk siasatan. Tetapi kawasan itu sangat besar untuk dipantau dengan tenaga kerja yang kecil,” katanya.

    Tiada ukuran rasmi bagi jumlah kawasan tanah tinggi di Badimalika yang merentas beberapa daerah dan majlis perbandaran. Semua majlis perbandaran ini telah melabur sejumlah besar wang setiap tahun untuk mempromosikan pelancongan di kawasan itu, namun tiada seorang pun daripada mereka nampaknya berminat untuk menghentikan aktiviti haram di sana.

    “Melindungi kawasan itu adalah di luar kapasiti unit tempatan, jadi kerajaan wilayah dan persekutuan sendiri harus mengambil bahagian,” kata Karna Bahadur Thapa, datuk bandar Perbandaran Triveni Bajura.

    Amar Khadka, Datuk Bandar Badimalika, bersetuju. “Kami juga telah memberi taklimat kepada Presiden mengenai situasi itu. Persediaan sedang dibuat untuk menarik perhatian kerajaan terhadap isu ini dengan mengadakan mesyuarat bersama majlis perbandaran yang bersempadan dengan kawasan Badimalika,” tambah Khadka. Kerajaan wilayah pula kekal menyendiri.

    “Belum ada kajian mengenai kemerosotan alam sekitar kawasan itu. Tetapi kami telah mempromosikan pelancongan di kawasan itu dengan membina denai kaki dan inap desa,” akui Man Bahadur Dhami, menteri Perindustrian, Pelancongan, Hutan dan Alam Sekitar Wilayah Sudurpaschim.

    “Tetapi kami tidak lama lagi akan membuat pelan tindakan untuk melindungi kawasan itu.” – ANN/The Kathmandu Post

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...