Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    BNM naikkan kadar faedah kawal inflasi

    KUALA LUMPUR, 11 MEI – Bank pusat Malaysia (BNM) menaikkan kadar faedah hari ini buat pertama kali sejak 2020, dalam tindakan mengejutkan bertujuan membendung inflasi.

    Bank Negara Malaysia menyertai bank pusat lain di seluruh dunia dalam memperketat dasar mata wang ketika kos barangan harian melambung naik disebabkan masalah rantaian bekalan dan harga komoditi yang semakin meningkat.

    Bank menaikkan kadar 25 mata asas kepada dua peratus, meskipun kebanyakan ahli ekonomi meramalkan tiada perubahan sehingga akhir tahun.

    Ia merupakan kenaikan pertama sejak Julai 2020, apabila kadar dikurangkan kepada tahap amat rendah untuk memerangi kesan pandemik COVID.

    “Tekanan inflasi telah meningkat mendadak disebabkan kenaikan dalam harga komoditi, masalah rantaian bekalan dan permintaan kukuh, terutamanya di Amerika Syarikat,” kata bank pusat dalam satu kenyataan.

    Dengan kehidupan kembali kepada normal ketika pandemik berkurangan, ekonomi Malaysia kini berada pada kedudukan lebih kukuh, sekali gus memberikan penggubal dasar lebih ruang untuk memperketat dasar bertujuan mengawal inflasi, katanya.

    Inflasi Malaysia mencecah 2.2 peratus pada Mac, lebih rendah daripada kebanyakan negara lain, namun inflasi makanan melonjak empat peratus dan ahli ekonomi menjangkakan peningkatan seterusnya.

    Kebimbangan semakin meningkat disebabkan inflasi mungkin tercetus di seluruh dunia ketika sekatan pandemik di China menambah tekanan ke atas rantaian bekalan global dan peperangan di Ukraine mendorong harga komoditi melambung naik. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...