Sunday, April 28, 2024
24.9 C
Brunei

    -

    Brunei pamer semangat juang

    Oleh Sim Y. H. –

    JEDDAH, 27 MAC – Pasukan bola sepak kebangsaan Negara Brunei Darussalam mencatatkan kemenangan penting dalam perlawanan FIFA Series setelah berjaya menewaskan Vanuatu 3-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium King Abdullah Sport City, Jeddah, kelmarin.

    Jurulatih pasukan kebangsaan, Mario Rivera Campesino dalam temu bual ringkas bersama media menyatakan bahawa ia merupakan satu perlawanan yang hebat di mana para pemain tidak pernah sama sekali patah semangat walaupun terpaksa kembali dua kali untuk memenangi perlawanan.

    Beliau menyatakan perasaan bangga dengan semangat, keazaman serta ketekunan yang ditonjolkan oleh pemain-pemainnya di mana mereka melakukan apa yang diperlukan untuk memenangi perlawanan itu.

    Menurutnya para pemain telah memberikan yang terbaik dan berjaya untuk mengharumkan nama negara serta penyokong bola sepak tanah air menerusi aksi yang menunjukkan ketekunan jiwa dan semangat mereka.

    Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) adalah amat penting supaya mereka dapat terus mencatatkan keputusan yang lebih baik.

    Sementara itu, Presiden FABD, Haji Feisal Eusoff ketika mengulas mengenai keputusan perlawanan berkenaan menyatakan bahawa kemenangan itu menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam pasukan kebangsaan pada masa ini di mana mereka beraksi dengan penuh semangat menentang pasukan lawan yang lebih berpengalaman, Vanuatu yang berada di ranking 24 lebih tinggi daripada Negara Brunei Darussalam.

    “Inilah mengapa kita tidak harus sesekali memandang rendah pasukan kebangsaan Brunei yang muda, bersatu dan sangat berazam. Bagi saya, sebagai ketua delegasi Negara Brunei Darussalam, ia merupakan satu lagi keajaiban bola sepak,” tambahnya.

    Beliau menambah kemenangan itu merupakan satu lagi pencapaian yang amat bermakna bagi bola sepak Brunei dan ia juga merupakan hadiah Ramadan yang bernilai untuk Negara Brunei Darussalam.

    Melihat ke hadapan, ia merupakan satu langkah kecil ke hadapan bagi bola sepak Brunei dan beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak kebangsaan Negara Brunei Darussalam atas kemenangan mereka.

    Aksi pemain bola sepak negara bersaing dengan pemain lawan semasa menentang Vanuatu di FIFA Series, Arab Saudi. – GAMBAR SERAHAN FABD
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    4 maut diserang gajah liar di India

    NEW DELHI, 28 APRIL - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk pegawai perhutanan maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua...