Sunday, April 28, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Euro 2024: Jerman ketatkan kawalan sempadan

    BERLIN, 27 MAC – Jerman bersedia meningkatkan kawalan sempadan semasa Kejohanan Bola sepak Eropah 2024 (Euro 2024), berikutan serangan pengganas yang mengorbankan lebih 130 nyawa di Rusia minggu lepas.

    Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser kelmarin, mengumumkan untuk melindungi Euro 2024 daripada sebarang ancaman keganasan yang berpotensi, pemeriksaan ke atas individu akan dijalankan di kesemua sembilan pintu sempadan luar semasa acara bola sepak berlangsung, lapor Xinhua.

    “Kami akan mengumpulkan lebih banyak pihak berkuasa, keselamatan dan bersiap siaga bagi semua kemungkinan ancaman,” kata Faeser kepada akhbar Rheinische Post, “Ia adalah perlu untuk menyediakan perlindungan sebaik mungkin untuk acara antarabangsa utama ini,” katanya kelmarin.

    Situasi keselamatan di Eropah tegang dalam minggu ini selepas serangan pada Jumaat lepas di konsert Dewan Bandaraya Crocus di Moscow.

    Sejak Daesh mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu, Perancis yang juga penganjur Sukan Olimpik Musim Panas di Paris, telah meningkatkan amaran keganasan ke tahap tertinggi pada Ahad berikutnya.

    Kaunselor Jerman, Olaf Scholz mengutuk ‘serangan pengganas itu yang membunuh penonton konsert yang tidak bersalah di Moscow’ dalam hantaran di platform media sosial X, dengan menyatakan ‘ingatan kami bersama keluarga mangsa dan semua yang tercedera’.

    Sebagai sebahagian daripada langkah menjaga keselamatan Euro 2024, Faeser akan melawat bandar yang terlibat dalam perlawanan itu untuk membincangkan langkah-langkah keselamatan dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan. “Ia melibatkan laluan jalan pasukan kebangsaan, tetamu dan peminat. Mengenai keselamatan di stadium dan zon peminat,” jelasnya.

    Polis persekutuan Jerman tidak dibenar mengambil cuti semasa kejohanan itu. “Kami boleh bergantung kepada ketersediaan anggota keselamatan terbesar,” kata Andreas Rosskopf dari kesatuan polis (GdP) sambil menambah bahawa pasukan polis ‘bersedia untuk semua situasi’. – Bernama

    Seorang pegawai polis meletak bunga di luar Kedutaan Russia di Berlin bagi memperingati serangan terhadap konsert di Dewan Bandar raya Crocus di Moscow pada 23 Mac lalu. Jerman membuat pengumuman untuk melindungi Euro 2024 dari sebarang ancaman keganasan. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...