Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Buat kuih raya atasi kenaikan harga

    KAHERAH – Semakin ramai rakyat Mesir memutuskan untuk membuat kuih-muih tradisional dan manisan di rumah untuk meraikan Aidilfitri tahun ini, berikutan harga kek dan biskut siap sedia semakin mahal.

    Di sebuah rumah yang terletak di Menofia Governorate, utara ibu kota Kaherah, sekumpulan wanita berkumpul dalam suasana kegembiraan untuk membuat kek dan biskut tradisional.

    Um Ahmed, yang paling tua dalam kumpulan itu, mengingatkan anak perempuannya dan wanita lain tentang sukatan dalam campuran untuk memastikan makanan akan keluar dalam bentuk terbaik.

    “Membuat kek dan biskut adalah satu tabiat yang diamalkan oleh orang Mesir sejak berabad-abad lamanya. Sejak dua tahun lalu, kebanyakan keluarga membeli kek dan biskut siap sedia, tetapi tahun ini kami memutuskan untuk membuatnya di rumah kerana kenaikan harga,” jelas Um Ahmed kepada Xinhua sambil menguli doh dalam mangkuk besar.

    Ibtisam Ibrahim, berusia 30an, sibuk memasukkan dulang kek ke dalam ketuhar, berkata dia gembira dengan apa yang dilakukannya di rumah walaupun bekerja keras selama berjam-jam.

    Seorang wanita mengagihkan biskut tradisional buatan sendiri untuk Aidilfitri kepada kanak-kanak di sebuah rumah di Monufia Governorate, Mesir. – Xinhua
    Kanak-kanak menunjukkan biskut tradisional buatan sendiri untuk Aidilfitri. – Xinhua

    “Kami adalah keluarga besar yang tinggal di rumah ini yang terdiri daripada enam pangsapuri. Oleh itu kami memerlukan kuantiti yang banyak kek dan biskut,” kata Ibtisam sambil menyatakan kek buatan sendiri menjimatkan banyak wang.

    Di Mesir, harga biskut satu kilogram kira-kira antara 110 paun Mesir (AS$5.95) dan 240 paun Mesir (AS$12.98), harga kek antara 130 paun dan 275 paun, manakala harga petit fours, kek hiasan bersaiz kecil, berkisar antara 145 paun dan 210 paun.

    Kenaikan harga di negara Afrika Utara itu adalah hasil daripada kejatuhan nilai mata wang pound Mesir berbanding dolar Amerika Syarikat dan krisis Ukraine yang berterusan.

    Sebagai salah sebuah pengimport gandum terbesar di dunia, Mesir pernah membeli satu tan gandum pada harga AS$250 sebelum krisis Ukraine, tetapi kini harganya telah melonjak kepada AS$400, menurut kenytaan Menteri Kewangan Mesir, Mohamed Maait baru-baru ini.

    Sementara itu, kadar inflasi tahunan di Mesir melonjak pada Mac untuk bulan keempat berturut-turut, mencatatkan 12.1 peratus, berbanding 10 peratus pada Februari, menurut data Agensi Pusat Mobilisasi Awam dan Statistik Mesir.

    Mohammed Abdul-Hamid, pemilik kedai roti di Menofia, memberitahu Xinhua bahawa permintaan untuk manisan dan kuih raya tradisional telah menurun.

    “Pelanggan yang pernah membeli tiga atau empat kilogram setiap jenis hampir tidak membeli satu kilogram sekarang,” kata Abdul-Hamid. “Kebanyakan pelanggan datang untuk membakar kek di kedai saya.”

    Beliau berkata kedai roti selalu beroperasi sepanjang masa pada hari-hari terakhir Ramadan setiap tahun untuk memenuhi permintaan pengguna yang tinggi, tetapi tahun ini waktu bekerja mereka berkurangan berikutan bilangan pelanggan yang kurang.

    Ahmed al-Handawil dari Persekutuan Dewan Perniagaan Mesir berkata terdapat penurunan sebanyak 15 peratus dalam jumlah pembelian kuih raya berbanding rekod tahun lalu.

    Tambah Al-Handawil, kilang manisan mengurangkan pengeluaran sebanyak 15-20 peratus bagi mengelak kerugian yang dijangkakan, kerana barangan ini hanya dijual semasa perayaan hari raya.

    “Harga bahan utama pembuatan manisan Hari Raya seperti minyak dan tepung serta gula meningkat 15-20 peratus menyebabkan permintaan menurun,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...