Tuesday, May 7, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    China akan percepatkan rundingan kod tatalaku di LCS

    KUALA LUMPUR, 12 JULAI – Ahli Dewan Negara China yang juga Menteri Luar, Wang Yi berkata China akan mempercepat perundingan mengenai kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan (LCS) dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan kerjasama dan keamanan.

    “Kami akan menyokong multilateralisme sebenar dan memajukan rantau yang terbuka. Kami akan menegakkan kepaksian ASEAN dan Rangka Kerja Kerjasama Serantau ASEAN.

    “Kami akan menentang konfrontasi dan mentaliti perang dingin,” katanya merujuk kepada laut yang menjadi pertikaian itu dalam sidang media bersama dengan Saifuddin selepas mesyuarat berkenaan, hari ini.

    COC bertujuan untuk mengurangkan risiko konflik di LCS yang menjadi pertikaian, dengan beberapa negara anggota ASEAN dan China terlibat dalam tuntutan wilayah yang bertindih. Wang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai Isnin.

    Beliau berkata Malaysia menjadi persinggahan terakhir dalam rangka lawatannya ke lima negara Asia Tenggara dari 3 hingga 14 Julai. Empat negara lain ialah Myanmar, Thailand, Filipina dan Indonesia.

    Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah (kanan) bergambar bersama Menteri Luar China Wang Yi (kiri) selepas menghadiri mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Republik Rakyat China. – Bernama

    Sepanjang lawatannya, Wang berkata beliau amat merasakan aspirasi negara-negara di rantau ini untuk keamanan dan pembangunan serta persahabatan yang mendalam antara rakyat China dan negara-negara ASEAN.

    “Dan saya amat merasakan keperluan mendesak dan prospek yang cerah untuk meningkatkan kerjasama antara China dan ASEAN.

    “Rakyat China dan negara-negara ASEAN telah berinteraksi antara satu sama lain selama lebih beribu tahun dan tiada siapa boleh memisahkannya. Tiada siapa boleh menghalang kita daripada mara ke arah pembangunan dan multilateralisme,” katanya.

    Wang berkata China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dan negara ASEAN yang lain untuk memperdalam kepercayaan bersama yang strategik dan meningkatkan penyelarasan strategik, dan bekerjasama untuk menegakkan kestabilan serantau serta menggalakkan pembangunan bersama.

    Mengenai hubungan China-Malaysia, beliau berkata kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) tahun depan dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024.

    Wang berkata beliau berada di sini untuk meneliti semula aspirasi serantau kedua-dua negara, kemajuan dan pencapaian masa lalu serta bekerjasama dengan pihak Malaysia untuk menetapkan matlamat baharu bagi hubungan, mengenal pasti keutamaan dan membawa kerjasama kedua-dua negara ke tahap baharu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia tuduh China berkelakuan bahaya berkaitan jet pejuang

    MELBOURNE, 7 MEI - Australia telah memprotes Beijing melalui pelbagai saluran bahawa sebuah jet pejuang China membahayakan helikopter tentera laut Australia dengan suar di...