Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Cimpanzi traumatik dijaga di Marshall

    BANDAR MARSHALL, LIBERIA – Terapung pada sebuah bot sungai berdekatan pulau Liberia, doktor haiwan Richard Ssuna memerhati dengan penuh khusyuk ketika penjaga haiwan meranduk ke seberang pantai sambil membaling buah dan meniru panggilan cimpanzi sambil berjalan.

    Pantai di sana tidak berhuni, namun bunyi cimpanzi yang berkersik dan berdengus di celah-celah daun mulai kedengaran dari semak belukar hijau. Secara perlahan-lahan, seekor beruk keluar ke pantai untuk mendapatkan makanan.

    Ia merupakan ketua kumpulannya, jelas Ssuna, tatkala lebih banyak cimpanzi menyusul. Haiwan yang lebih kecil melompat-lompat sambil bersiul kegembiraan ketika penjaga membaling pisang, kacang pokok palma dan ubi kaya kepada mereka.

    Enam puluh ekor cimpanzi tersebar di seluruh enam pulau yang tidak berhuni berhampiran Lautan Atlantik, kira-kira 55 kilometer dari selatan ibu negara Afrika Barat Monrovia.

    Namun kegembiraannya untuk mengisi perut mempunyai rahsia yang tersembunyi.

    Cimpanzi menghulurkan tangan untuk menyambut buah-buahan yang dibaling oleh pakar penjagaan haiwan di salah sebuah pulau di pinggir Bandar Marshall. – AFP

    Kurungan cimpanzi yang tidak digunakan kelihatan di pinggir Bandar Marshall. – AFP
    Pakar jagaan haiwan menjauhkan diri ketika mereka membaling buah-buahan kepada 65 cimpanzi yang tinggal di antara enam pulau berlainan di Bandar Marshall. – AFP

    Cimpanzi berkenaan merupakan saki-baki sekumpulan 400 bekas subjek ujian dalam projek penyelidikan yang dibiayai AS – dan telah menjalani uji kaji intensif selama beberapa dekad. Sesetengah haiwan menjalani beberapa ratus biopsi.

    “Haiwan berkenaan mempunyai pengalaman traumatik,” kata Ssuna, yang juga pengarah Persatuan Kemanusiaan Antarabangsa (HSI), kumpulan hak asasi manusia yang menjaga haiwan primat itu sekarang.

    Ujian cimpanzi di Liberia bermula pada 1974, apabila Pusat Darah New York (NYBC) membiayai penyelidikan bioperubatan berkaitan dengan hepatitis B dan penyakit lain di sebuah kompleks terletak di Sungai Farmington.

    Semasa perang saudara Liberia pada 1989-2003, cimpanzi hampir mati kebuluran ketika negara runtuh.

    Kakitangan penyelidikan di negara miskin itu terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan.

    Para penyelidik memindah kebanyakan cimpanzi ke pulau itu pada pertengahan 2000 tetapi pengalaman pahit haiwan itu masih berterusan.

    Atas sebab-sebab yang masih tidak jelas, NYBC mengurangkan pembiayaan pada 2015 – dalam tindakan yang mencetuskan kemarahan global – meninggalkan beruk di pulau kecil yang tidak mampu menyokongnya.

    Aktivis mengadakan mogok di ibu pejabat NYBC di New York dan bintang Hollywood seperti Joaquin Phoenix dan Ellen Page menandatangani petisyen yang menyeru tabung darah supaya mengembalikan semula pembiayaan.

    Brian Hare, pakar haiwan primat di AS yang melancarkan petisyen itu, menulis pada masa itu: “Pada dasarnya, mereka telah meninggalkan cimpanzi berkenaan untuk menderita daripada kelaparan.”

    Liberia ialah salah sebuah negara paling miskin di dunia, di mana 44 peratus daripada populasi hidup kurang daripada AS$1.90 sehari, menurut Bank Dunia.

    Kakitangan tempatan di pusat penyelidikan masih datang untuk membantu cimpanzi apabila NYBC memutuskan pembiayaan – pada masa apabila pandemik Ebola merebak di Liberia. Kumpulan hak dan syarikat kewangan gergasi AS Citigroup – juga menyediakan dana bantuan semasa tempoh krisis berkenaan.

    Tertekan, NYBC akhirnya mencapai satu perjanjian untuk memecahkan kos penjagaan jangka panjang untuk cimpanzi dengan Persatuan Kemanusiaan pada 2017, menjanjikan AS$6 juta.

    NYBC tidak menjawab soalan dari AFP mengenai sebab-sebab ia menarik balik pembiayaan.

    Beberapa tahun kemudian, bekas cimpanzi makmal kini menikmati penjagaan doktor haiwan dan dua makanan sehari. Namun kebanyakannya masih menanggung kesan pengalaman lampau yang memeritkan.

    Di sebuah pulau lain, semasa memberikan makanan pagi, Ssuna menu-ding kepada seekor beruk yang kehilangan satu tangan. Doktor haiwan berkata haiwan itu ‘merupakan mangsa penyeksaan.’

    Cimpanzi itu, bernama Bullet, kehilangan anggota badan semasa masih kecil apabila pemburu membunuh ibunya dan menyambarnya daripada tangan ibunya. Ia seterusnya berakhir di makmal penyelidikan.

    Penjaga dilatih untuk menjalin ikatan rapat dengan cimpanzi dan menjaga haiwan dengan kasih sayang, jelas Ssuna, yang berkata sesetengah respons boleh mencetuskan kenangan negatif dalam cimpanzi, sama seperti dalam manusia.

    Tidak ada cimpanzi yang boleh dilepaskan ke hutan, dan terkurung di pulau itu seumur hidup.

    Haiwan berkenaan tidak pernah belajar cara-cara menjaga diri mereka dan juga timbulnya kebimbangan haiwan itu akan menyebar penyakit sekiranya manusia mempunyai kontak dengannya.

    Memberikan haiwan itu makan adalah satu operasi yang serius.

    Penjaga menyediakan kira-kira 200 kilogram makanan setiap pagi, dan 120 kilogram pada tengah hari – bersamaan dengan kira-kira 10 tan sebulan.

    Penjagaan akan diteruskan sehingga setiap beruk di pulau mati, menurut Ssuna.

    Beliau menganggarkan penjagaan seumur hidup beruk itu akan mengambil masa kira-kira 50 tahun. Kebanyakan cimpanzi berusia kira-kira 20 tahun dan mempunyai jangka hayat 60 tahun.

    Terdapat juga anak beruk kecil. HSI merancang memandulkan jantan untuk mengelak kelahiran seterusnya.

    “Masa depan adalah amat cerah, di mana kami ingin meninggalkan cimpanzi dalam hutan,” kata Ssuna di daratan selepas memberi makan kepada haiwan tersebut, berdiri berhampiran kurungan haiwan berkarat di kompleks penyelidikan lama.

    “Haiwan berkenaan berada di tempat yang lebih baik.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...