Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    ‘Cipta pekerjaan awda sendiri’

    Oleh Syahmi Hassan

    Meminati bidang keusahawanan sejak kecil lagi dan terinspirasi daripada pemerhatian perintis industri kedai gunting tempatan, meningkatkan kepercayaan Awang Fakhrul untuk memulakan perniagaan kedai gunting sendiri.

    Dengan menggunakan nama Hoodchops, Awang Fakhrul atau lebih dikenali sebagai Cruel The Barber memulakan operasi dan mengalu-alukan pelanggannya pada tahun 2016 yang terletak di luar kediamannya.

    “Hoodchops mewakili siapa saya. Di sinilah saya memenuhi keperluan lelaki dari segi penampilan,” kata Cruel sambil menjelaskan konsep kedai gunting rambutnya, sebuah ruang di mana dia boleh berbual bersama pelanggannya tentang pelbagai topik sambil memotong rambut mereka.

    Mengingati kembali semasa awal permulaan hendak menjalankan perniagaan, oleh kerana keinginannya untuk mencuba perkara baharu, dia sanggup meminjam wang daripada ibunya demi mendapatkan sebuah mesin gunting.

    Apabila menyedari pasaran dan permintaan khidmat gunting rambut di negara ini stabil, membuatkan beliau mahu menjalankan perniagaan. Tambahnya, lelaki mempunyai kecenderungan untuk memotong rambut sekali setiap seminggu atau dua minggu.

    Cruel memulakan operasi Hoodchops sejak tahun 2016 yang terletak di luar kediamannya.
    Menurut Cruel, dengan konsep kedai gunting rambutnya membolehkan dia berbual bersama pelanggannya tentang pelbagai topik sambil memotong rambut mereka.
    Bidang keusahawanan telah banyak mendidik Cruel menjadi seorang yang kreatif, tabah dan tidak berputus asa.

    Jelasnya, lima tahun yang lalu hanya terdapat sebahagian kedai gunting pakar untuk lelaki dan majoriti pada ketika itu golongan lelaki masih memilih untuk pergi ke salun.

    Dengan tiada sekolah yang mengajar individu untuk menggunting rambut, Cruel berkata segala-galanya adalah berdasarkan pembelajaran daripada YouTube dan latihan berterusan untuk menimba pengalaman di samping sesi perkongsian.

    “Kami berdepan senario yang berbeza, potongan rambut yang berbeza, bentuk kepala, percubaan dan kesilapan, dan juga beberapa seminar berkaitan khidmat gunting rambut beberapa tahun lalu sebelum COVID oleh seorang tukang gunting rambut dari Filipina,” jelas Cruel apabila bercakap tentang pelbagai cara untuk mengasah kemahirannya.

    “Pada asasnya memotong rambut itu sama, namun perbezaannya adalah bentuk kepala dan gaya rambut yang berlainan,” tambahnya.

    Ketika negara menghadapi gelombang pandemik COVID sejak dua tahun lalu, beliau mengongsikan bahawa perjuangan terbesarnya pada masa itu ialah orang ramai semakin takut untuk bersemuka dengan orang lain dan terpaksa menutup kedai guntingnya untuk tempoh tiga hingga empat bulan.

    Tidak mahu menjadi pasif dan terus memikirkan perjuangan, Cruel berjaya mencipta projek ‘Zoom Gunting’ semasa gelombang pertama yang menyaksikan beliau mengarahkan dan mengajar orang ramai cara memotong rambut mereka sendiri di rumah melalui aplikasi Zoom. Untuk bertahan lebih jauh dalam tempoh itu, beliau juga berjaya menjalankan seminar dalam talian bersama tukang gunting dari Indonesia.

    “Keutamaan terbesar ialah jangan berputus asa kerana menjadi usahawan akan sentiasa ada pasang surutnya. Oleh itu kita perlu bijak serta berpengetahuan tentang cara mengharungi sisi buruknya,” kata Cruel.

    Jelasnya, bidang keusahawanan ini juga mendidik beliau menjadi seorang yang kreatif, tabah dan tidak berputus asa, serta tidak hanya duduk berdiam diri dan menunggu tanpa melakukan sebarang tindakan.

    “Itulah mindset terbesar yang perlu ada untuk terus hidup dalam dunia keusahawanan ini.

    Dedikasi dan kerja keras mengajar saya bagaimana untuk menjadi orang seperti itu,” tekannya.

    Memandangkan ramai individu terutama golongan belia bergelut untuk mencari pekerjaan, Cruel tidak mengharapkan kerja pejabat sebaliknya memilih untuk mencari sumber pendapatan lain.

    “Saya tidak boleh terlalu bergantung kepada peluang pekerjaan sepanjang masa kerana saya seorang yang suka berdikari. Saya sentiasa berusaha bekerja sendiri untuk mendapatkan wang,” katanya.

    Beliau percaya adalah penting bagi belia untuk mula berkecimpung dalam bidang keusahawanan mengikut cara mereka sendiri supaya mereka tidak perlu bergantung kepada ibu bapa dan untuk melakukan sesuatu yang mereka suka. Tambahnya, ada fleksibiliti dalam menjadi seorang usahawan.

    “Dengan mempunyai hala tuju, pengurusan yang tersusun dengan kewangan dan perniagaan awda, saya kira awda boleh bertahan. Pada penghujungnya, adalah untuk menjadi bijak mengenainya,” tambahnya

    Beliau seterusnya mengatakan jika seseorang percaya pada produk atau perkhidmatan diberikan, mereka harus meneruskannya kerana apabila mengetahui mereka boleh menjana pendapatan daripadanya ketika itulah mereka harus berpegang padanya.

    Menurutnya, jika seseorang itu khususnya para belia hendak melakukan sesuatu pekerjaan seperti melibatkan diri dalam bidang keusahawaan, haruslah bermula setelah menamatkan sekolah menengah atau lulus dari universiti.

    “Cipta pekerjaan awda sendiri,” tegas Cruel, yang juga berharap dapat meluaskan perniagaannya untuk membuka cawangan kedai gunting yang lebih besar bersama institusi untuk mengajar orang ramai kemahiran yang boleh mereka gunakan untuk mencari pendapatan sampingan sebagai sokongan kewangan mereka sendiri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...