Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Ciri baharu BruHealth dilancar 14 Ogos

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Aplikasi BruHealth kini sedang dikemas kini dengan satu ciri promosi kesihatan baharu iaitu BN on the Move (BNOTM) yang akan dilancarkan pada 14 Ogos. 

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan, ciri baharu berkenaan bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menjadi lebih aktif dengan melakukan aktiviti-aktiviti seperti berjalan kaki atau membanyakkan jumlah langkah kaki yang dilakukan setiap hari bagi mencegah atau mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit.

    “Kementerian Kesihatan juga akan melancarkan kempen Satu Bilion Langkah Bersama iaitu satu cabaran besar-besaran di peringkat negara untuk bersama-sama mencapai satu bilion langkah dalam masa sebulan. 

    “Inisiatif ini juga akan bermula 14 Ogos di mana pendaftaran early bird telah mula dibukakan pada hari ini dalam aplikasi BruHealth bagi mereka yang ingin menyertai kempen tersebut,” ujarnya semasa sidang media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengingatkan orang ramai bagi mengemas kini aplikasi BruHealth masing-masing kepada versi terkini (versi 3.0.6) dan seterusnya dialu-alukan untuk menyertai majlis pelancaran kempen cabaran berkenaan yang akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, pada pukul 6:30 pagi. 

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Kemente-rian Kesihatan, kelmarin.
    Pendaftaran awal bagi kempen Satu Bilion Langkah Bersama telah dibukakan menerusi aplikasi BruHealth.

    “Marilah kita semua menghadirkan diri di majlis pelancaran tersebut bagi sama-sama menjayakan kempen yang sangat bermanfaat ini,” seru Yang Berhormat Dato.

    Terdahulu, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan pengurangan di mana kadar purata kes pada minggu ini ialah sebanyak 578 kes sehari, berbanding 628 kes sehari pada minggu lepas. 

    Sebanyak 62,148 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa seminggu di mana 6.4 peratus daripadanya adalah keputusan ART yang positif.

    “Pada hari ini, tiada kes berada dalam Kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala lima kes berada di dalam Kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    “Sehingga kelmarin (7 Ogos), kadar liputan vaksinasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 75.6 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 7.8 peratus juga telah mendapatkan dos keempat,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa pada hari ini, sebanyak 537 kes baharu telah dilaporkan iaitu 532 kes hasil ART dan lima kes adalah hasil daripada 211 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    Sebelum mengakhiri sidang media, beliau turut memohon kerjasama orang ramai dalam membantu pihak kerajaan memantau penularan wabak COVID-19 di negara ini dengan memuat naik keputusan ART, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...