Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Mahkamah Majistret Isnin lalu telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mencuri dari rumah keluarga di Kampung Madang pada April lalu.
Nurhapipit memberi alasan bagi tindakannya itu dengan berkata dia sudah meluat dengan isteri majikannya yang memarahinya kerana tidak berpuas hati dengan kerjanya.
Dia mencuri dengan niat untuk menjual harta itu bagi membeli tiket penerbangan pulang.
Pendakwa Ahmad Firdaus Mohammad mendedahkan di mahkamah bahawa defendan telah mencuri wang tunai lebih $600, telefon pintar, dua utas rantai emas, tujuh utas gelang emas, dua bentuk cincin emas, dua loket emas, sebentuk cincin, kasut, alat solek, pemetik api dan pin emas yang mana jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira $5,000.
Majistret Harnita Zelda Skinner selanjutnya mendengar bahawa defendan melakukan rancangannya itu apabila dia ditinggalkan bersendirian di rumah pada petang 28 April lalu kerana keluarga itu keluar untuk menghadiri undangan Hari Raya.
Dia masuk ke dalam bilik tidur majikannya, mencari pasportnya dan menemuinya.
Dia kemudian mencuri barang-barang berkenaan, mengemas barang-barangnya bersama barang-barang yang dicuri dan meninggalkan rumah.
Majikan pulang ke rumah tidak lama kemudian hanya untuk mendapati defendan hilang, dan mendapati barang-barang mereka juga hilang.
Dengan telefon pintar, majikannya menggunakan aplikasi dan mendapati telefon itu berada di suatu tempat di Jalan Utama Berakas.
Majikannya lalu beredar pergi ke lokasi dan menemui defendan di luar sebuah gerai makan bersama barangan curiannya.
Majikannya itu kemudiannya membawa defendan ke balai polis di mana dia ditangkap dan dibawa untuk siasatan lanjut.