Saturday, May 18, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    ‘Demi negara saya buat yang terbaik’

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Salah seorang penerima Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) bagi Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-31, Vietnam 2021, iaitu Dayang Anisah Najihah binti Abdullah semasa ditemui pihak media mengongsikan perasaan gembira dan keterujaannya apabila berjaya menerima SPKS setelah memperoleh pingat perak dalam Sukan Pencak Silat, Kategori Seni Regu Wanita yang disertainya semasa Sukan SEA Ke-31 yang lepas.

    “Alhamdulillah dengan adanya skim penggalak ini, ia memberikan kami dorongan untuk bekerja lebih gigih dan bersemangat untuk mencapai kejayaan bagi acara seterusnya.

    “Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta persatuan kami kerana telah memberikan sokongan,” tambah Dayang Anisah Najihah.

    Seorang lagi atlet sukan pencak silat yang ditemui semasa majlis penyampaian berkenaan, Awang Muhd Ali Saifullah Abdullah bin Haji Mohd Suhaimi turut menzahirkan perasaan terujanya apabila berjaya menerima SPKS tersebut setelah meraih pingat gangsa melalui acara Seni Tunggal Lelaki.

    “Alhamdulillah ini merupakan kali pertama bagi saya mendapatkan skim penggalak ini, dan saya akan mencuba dengan sebaik yang mungkin untuk memperbaiki lagi segala kelemahan saya.

    “Insya-Allah demi negara saya akan membuat yang terbaik,” ujar Awang Muhd Ali Saifullah Abdullah lagi.

    Sementara itu, penerima Ganjaran Kemenangan SPKS yang terbesar pada kali ini iaitu atlet wusyu Negara Brunei Darussalam, Awang Mohd Adi Salihin bin Roslan yang berjaya mengharumkan nama negara setelah meraih pingat emas ketika ditemui pada majlis yang sama.

    Beliau turut mengongsikan iltizamnya bahawa meskipun telah memperoleh skim penggalak ini, beliau akan terus dan tetap menaikkan prestasinya dengan lebih baik terutamanya dalam menempuhi acara Sukan SEA dan Sukan Asia yang akan datang.

    Beliau turut menyatakan bahawa beliau akan menyimpan wang ganjaran yang diperolehinya bagi keperluan di masa yang akan datang.

    Awang Mohd Adi Salihin bersama kedua ibu bapanya meraikan kejayaannya tersebut pada majlis berkenaan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...