Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Dua kementerian bertahlil di kubah

    Oleh Syahmi Hassan & Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani & Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Dalam menyemarakkan bulan Ramadan, pelbagai pihak termasuk kementerian-kementerian kerajaan giat mengadakan majlis-majlis keagamaan bagi melipatgandakan pahala di bulan yang penuh keberkatan ini.

    Hari ini, rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya serta majlis-majlis perundingan mukim dan kampung telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.

    Mengetuai rombongan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Juga hadir ke majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Awang Salminan bin Haji Burut; Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Awang Azmi bin Haji Hafneh, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari keempat-empat daerah.

    Turut mengadakan majlis seumpamanya di Kubah Makam Diraja hari ini ialah Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, yang disertai oleh kira-kira 300 orang warganya.

    Rombongan kementerian berkenaan telah diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; ketua-ketua jabatan, ketua-ketua divisyen dan unit, serta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Majlis-majlis berkenaan telah diisikan dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai serta diteruskan dengan bacaan Doa Tahlil dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bersama pegawai-pegawai KHEDN pada majlis tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, kelmarin.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi berserta pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan pada majlis yang diadakan di Kubah Makam Diraja kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...