FLORIDA, 26 MAC – Dua pendatang dari Cuba menggunakan pesawat luncur bermotor untuk terbang kira-kira 145 kilometer dari pulau komunis itu ke Key West kelmarin, kata pegawai Florida.
Pejabat Syerif Daerah Monroe berkata, kedua-duanya selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Key West pada kira-kira 10:30 pagi dan diserahkan kepada Peronda Sempadan Amerika Syarikat (AS).
Pegawai Peronda Sempadan di Florida Selatan tidak menjawab panggilan telefon kelmarin untuk mendapatkan komen.
Dengan kebanjiran rakyat Cuba dan pendatang lain untuk masuk ke Florida, pentadbiran Biden pada awal Januari melaksanakan perubahan dasar yang membuatkan mereka perlu memohon permit atau parol, secara dalam talian sebelum tiba dengan sokongan daripada keluarga atau kenalan di AS. – AP
