BANGKOK, 14 SEPT – Seorang anggota tentera Thailand membunuh dua orang dan mencederakan seorang dalam insiden penembakan di sebuah kemudahan tentera di Bangkok hari ini, pegawai polis dan tentera berkata.
Sarjan Mejar Yongyuth Mungkorn-kim, seorang kerani di Kolej Peperangan Tentera Diraja Thailand, menembak tiga tentera lain sekitar 8:45 pagi waktu setempat, menurut tentera dalam satu kenyataan.
Lelaki berusia 59 tahun itu melarikan diri dari lokasi kejadian namun menyerah diri sekitar 10 pagi, pemangku jurucakap polis kebangsaan, Kissana Phathanacharoen memberitahu pemberita.
“Pihak tentera menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga-keluarga tentera yang terkorban dan cedera. Insiden ini merupakan satu kehilangan bagi keluarga-keluarga dan organisasi. Ia adalah sesuatu yang tidak dijangkakan,” pemangku jurucakap tentera, Kolonel Kanan Sirichan Ngathong berkata dalam satu kenyataan.
“Sebab dan motivasi bagi insiden berkenaan masih dalam siasatan,” tambah beliau.
Berikutan kejadian itu, polis dan tentera mengawal pagar-pagar kemudahan berkenaan, sebahagian daripada kompleks bangunan tentera yang besar di utara ibu negara. – AFP
