Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Embiid tonggak utama kemenangan 76ers

    LOS ANGELES, 28 JAN – Joel Embiid kelmarin membantu Philadelphia 76ers untuk mencatat kemenangan 105-87 dengan menjaringkan 26 mata menentang Los Angeles Lakers, yang beraksi tanpa LeBron James.

    Embiid meneruskan persembahan memukau kepada empat perlawanan berturut-turut dengan menamatkan permainan sekurang-kurangnya 35 mata dan 10 rebound.

    Meskipun dia kurang menyerlah semasa perlawanan – dia hanya mencatat sembilan rebound, tujuh assist dan dua kali menghalang percubaan – masih cukup memadai buat Sixers yang menjaringkan 13 jaringan melalui percubaan tiga mata berbanding Lakers hanya enam di luar lengkungan.

    Walau bagaimanapun, Embiid tetap meneruskan rekod dengan menjaringkan sekurang-kurangnya 25 mata kepada 16 perlawanan – kedua paling lama dalam sejarah 76ers selepas rekod 27 kali berturut-turut dicatat oleh Allen Iverson pada 2001.

    Dengan pemain Paling Berharga NBA, James, diketepikan kerana masalah lutut kiri, Anthony Davis melakukan semampunya untuk membantu pasukan.

    Aksi Joel Embiid membawa bola semasa pertemuan menentang Los Angeles Lakers di Philadelphia. – AP

    Davis, bermain perlawanan keduanya sejak terlepas 17 pertemuan akibat kecederaan lutut, berjaya menjaringkan 31 mata dan 12 rebound untuk Lakers.

    Namun dia tidak banyak mendapat sokongan. Russell Westbrook menambah 20 mata, tetapi bagi tiga pemain permulaan Lakers hanya menjaringkan gabungan 15 mata.

    Davis turut dilihat mengalami kecederaan pada pergelangan kanan semasa separuh masa pertama dan bermain dengan pembalut pada baki perlawanan.

    “Anthony bermain dengan hebat,” kata jurulatih Lakers, Frank Vogel. “Sangat bagus untuk melihat dia kembali mendapat rentak. Dia bermain dengan hebat menentang Embiid.”

    Vogel mengakui ia kecewa kerana gagal menurunkan dua pemain bintangnya secara serentak.

    “Tetapi inilah yang dilalui oleh semua pasukan dalam liga,” kata Vogel. “Kami perlu bermain dengan lebih baik berbanding malam ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...