Sutradara Fauziah Ahmad Daud mengaku tidak berkompromi dalam soal kualiti ketika menyiapkan naskhah terbaru, filem pendek, Aidil & Atok.
Fauziah yang mesra disapa Ogy mengaku cukup menjaga masa ketika berkarya.
Justeru, tidak hairan filem pendek berdurasi 15 minit yang dihasilkan untuk Yayasan Ammirul Ummah itu berjaya disiapkan dalam tempoh sehari sahaja.
Ditemui pada majlis pratonton filem pendek itu, Ogy mengaku menjadikan cara kerja Allahyarham Tan Sri Datuk Jins Shamsuddin sebagai inspirasi.
“Saya amat cerewet soal skrip, draf cerita dan masa. Jadi, sebelum masuk set penggambaran, saya akan kenal pasti ‘shot’ yang dimahukan. Seterusnya, saya berbincang dengan pengarah fotografi.

“Saya juga menentukan baju apa yang perlu dipakai pelakon. Semua baju dalam filem pendek Aidil & Atok adalah persalinan baharu yang dibeli produksi, bukan baju pelakon.
Fauziah berkata, biarpun berdepan cuaca yang tidak menentu, dia berusaha menyiapkan penggambaran pada hari sama, biarpun sehingga jam 1.30 pagi.
“Saya tidak suka buang masa. Disebabkan itu, ketika tidak dapat menjalani penggambaran di luar akibat hujan, saya manfaatkan waktu dengan melakukan penggambaran dalam rumah yang tidak membabitkan dialog.
“Kami terpaksa habiskan penggambaran dalam tempoh sehari kerana Zaidi hanya ada hari itu sahaja. Aiman pula perlu bersekolah.
Aidil & Atok ditulis Slen Fadzil mengisahkan Aidil yang mengumpul duit perbelanjaan sekolah yang diberi datuk untuk diwakafkan kepada masjid sebagai saham buat ibu bapanya yang sudah meninggal dunia.
Filem pendek ini menyelitkan elemen kasih sayang dan kekeluargaan serta pembentukan akhlak murni seawal usia kanak-kanak. Filem Aidil & Atok juga dimuat naik melalui platform YouTube Fatijja TV. – Agensi