Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Gerai jualan Bandarku Ceria dibuka semula

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN -Berikutan penelitian terhadap impak penularan wabak COVID-19 terhadap ekonomi yang dibuat oleh Jawatankuasa Pandu COVID-19, termasuk bagi mendukung Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19, aktiviti-aktiviti perniagaan, termasuk aktiviti gerai-gerai jualan semasa Program Bandarku Ceria telah dibuka semula hari ini.

    Lokasi gerai yang ditetapkan berjaja adalah di kawasan letak kereta Jalan Bendahara iaitu berhadapan dengan Muzium Alat Kebesaran Diraja.

    Penolong Pegawai Bandaran Tingkat 2, Awang Ahmad Saufi bin Haji Mohd Yussof antara lain menjelaskan bahawa pemindahan lokasi ke Jalan Bendahara tersebut adalah bagi memastikan para penjaja mengikut SOP yang ditetapkan ketika bermulanya endemik ini termasuklah pemantauan tempat pengimbasan QR BruHealth pengunjung dan sebagainya.

    Turut hadir bagi meninjau aktiviti gerai-gerai jualan semasa Program Bandarku Ceria pada pagi tadi ialah Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Awang Aminuddin bin Haji Buntar serta timbalan-timbalan pengerusi dan pegawai-pegawai kanan Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan.

    Para penjaja juga dimestikan menjalani ujian saringan COVID-19 bersijil dalam tempoh dua hari sebelum mereka menjalankan perniagaan dan hendaklah menunjukkan keputusan swab mereka terlebih dahulu sebelum dibenarkan berjaja di kawasan yang telah ditetapkan.

    Antara petak jualan yang menyertai aktiviti gerai jualan semasa Program Bandarku Ceria.
    Beberapa orang pengunjung yang dilihat hadir bagi memeriahkan aktiviti gerai jualan semasa Program Bandarku Ceria.

    Sementara itu, jumlah pengunjung juga dihadkan bilangannya pada satu-satu masa meskipun ia diadakan di tempat yang terbuka, menurut Penolong Pegawai Bandaran.

    Salah seorang penjaja yang sempat ditemui pagi tadi, Dayang Ramlah binti Haji Hidup yang berasal dari Kampong Ayer menzahirkan perasaan teruja dan bersyukur kerana telah dibenarkan untuk kembali berjaja semasa Program Bandarku Ceria diadakan.

    Beliau yang mula berjaja sejak Program Bandarku Ceria diperkenalkan lebih lima tahun lalu mengongsikan bahawa semasa gelombang kedua COVID-19 melanda negara, beliau menggunakan teknologi secara dalam talian dalam menjalankan perniagaan jualan barangan antik dari rumahnya.

    Lokasi baharu yang jelasnya agak jauh dari lokasi sebelumnya dilihatnya kurang mendapat sambutan daripada pengunjung namun tidak menolak kemungkinan mungkin disebabkan ia baharu saja bermula pada hari ini.

    Untuk hari pertama ini, beliau membawa sebahagian barangan jualannya sahaja memandangkan beliau hanya bersendirian menunggu petak jualannya pada hari ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...