Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Gleneagles, Kem. Kesihatan jalin kerjasama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Gleneagles JPMC Sdn Bhd dan Kementerian Kesihatan terus mengukuhkan kerjasama khususnya dalam bidang kesihatan pencegahan dan promosi kesihatan menerusi penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) bagi usaha kolaboratif antara kedua-dua pihak pada majlis yang berlangsung di Tarindak D’Polo, Royal Brunei Polo dan Riding Club, Jerudong, hari ini.

    Hadir menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

    Pada majlis itu, menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui manakala itu, Gleneagles JPMC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Peter Tay.

    Turut hadir sebagai saksi ialah Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim dan Ketua Pegawai Operasi Gleneagles JPMC, Awang ‘Izzul Hamzi bin Haji Jomari.

    Dengan penandatanganan MoU itu, cek berjumlah $250,000 telah disampaikan oleh Dr Peter Tay kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham yang mana akan digunakan untuk meneruskan dan memperkukuhkan tiga buah program usaha sama oleh kedua-dua pihak berkenaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menerima cek berjumlah $250,000 yang disampaikan oleh Dr Peter Tay semasa majlis penandatanganan MoU, kelmarin.

    Program-program itu bermatlamat untuk mempromosi cara hidup sihat dan mencegah penyakit jantung dalam kalangan warga Brunei.

    Terdahulu sebelum penandatanganan MoU berkenaan, Dr Peter Tay dalam kata alu-aluannya menyatakan, walaupun Negara Brunei Darussalam seperti kebanyakan negara lain, telah terjejas oleh pandemik COVID-19, namun setakat ini, lebih 15,000 orang kakitangan kerajaan daripada kesemua kementerian telah mengambil bahagian dalam program saringan kesihatan Workplace and Health (WAH) dan lebih 250 sesi senaman WAH telah dikendalikan di kementerian-kementerian berkenaan melalui studio kecergasan yang dilantik.

    Beliau menambah bahawa Program WAH yang menumpukan kerjasama bagi 2022 dengan pelancaran laman sesawang WAH, menawarkan pelbagai topik kesihatan menerusi kursus-kursus dalam talian yang bertujuan untuk mempromosikan literasi kesihatan dalam kalangan penjawat awam.

    Di samping itu, program mengurangkan berat badan baharu juga akan ditubuhkan untuk membantu para peserta dari kementerian terpilih untuk mencapai berat badan sihat dan gaya hidup aktif.

    Satu lagi bidang tumpuan bagi 2022, tambahnya, adalah inisiatif Health Promoting School di bawah Program Other Health Lifestyle di mana inisiatif itu bermatlamat untuk menyokong dan memperkasa sekolah-sekolah terpilih di negara ini untuk melaksanakan program promosi kesihatan holistik bagi kesihatan yang lebih baik untuk pelajar-pelajar serta komuniti sekolah.

    “Inisiatif ini mencerminkan nilai-nilai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Gleneagles JPMC sendiri bagi jangkauan kesihatan dan kesejahteraan untuk semua yang lebih meluas,” ulasnya lagi.

    Program WAH yang telah bermula sejak 2019, menggalakkan tempat-tempat kerja untuk menyediakan dan menyokong gaya hidup aktif, mempromosi pemakanan sihat dan kesejahteraan mental yang baik serta menjadi bebas rokok.

    Sebagai langkah pembaharuan, laman sesawang WAH telah dilancarkan baru-baru ini bagi menyediakan komponen pendidikan kesihatan mengenai risiko penyakit-penyakit
    yang tidak berjangkit secara dalam talian.

    Warga perkhidmatan awam dialu-alukan untuk mengakses dan mendaftar akaun di laman tersebut melalui pautan whp.gov.bn bermula Julai 2022. Selain itu, sebuah projek pengurangan berat badan juga akan diperkenalkan untuk enam buah kementerian terpilih iaitu Musim 1 Fit & Active Lifestyle Club (FALC S1), yang bertujuan untuk membantu para peserta mencapai berat badan yang lebih sihat dan mempraktikkan gaya hidup aktif.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...