Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Hari Raya Aidiladha terus bersemarak

    Oleh Nurdiyanah R., Syahmi Hassan, Ak Zaki Kasharan & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Sambutan Hari Raya Aidiladha terus disemarakkan dengan majlis ibadah korban yang diadakan oleh kementerian-kementerian kerajaan dan syarikat swasta.

    Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya turut tidak ketinggalan dalam sama-sama melaksanakan ibadah berkebajikan berkenaan pagi tadi, yang berlangsung di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Mukim Kiudang, Daerah Tutong di mana lima ekor kerbau dikorbankan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Hasbi yang sekali gus menyampaikan agihan daging-daging ibadah korban kepada para peserta korban dan 53 orang ketua keluarga asnaf fakir miskin serta 40 orang asnaf mualaf dari Mukim Kiudang, para jemputan dan ahli-ahli jawatankuasa majlis tersebut.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri, Datin Norazimah binti Haji Ramlee; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; serta Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan isteri, Hajah Azizah binti Haji Mohammad.

    Sementara itu, tujuh ekor kerbau telah dikorbankan pada majlis ibadah korban Kementerian Pendidikan yang disertai oleh seramai 49 orang pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan serta ahli keluarga.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama melapah daging semasa majlis ibadah korban KHEU di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, kelmarin.
    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyempurnakan pengagihan daging korban kepada penerima. – Gambar serahan MTIC
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan agihan daging korban kepada salah seorang pelajar. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Datin Hajah Nahriah turut menyampaikan agihan daging korban kepada penerima.
    Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan menyampaikan agihan daging korban BIBD kepada salah seorang penerima. – Gambar serahan BIBD
    Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD menyerahkan sumbangan 100 buah buku Yasin sebagai wakaf untuk Masjid Kampung Masin. – Gambar serahan BIBD

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi mengagihkan daging korban kepada penerima afdal dan peserta korban pada majlis yang berlangsung di Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Kampung Salambigar ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Seramai 57 orang penerima telah dipilih terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

    Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya juga telah mengadakan majlis serupa hari ini di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan MTIC. 

    Enam ekor kerbau telah dikorbankan pada majlis berkenaan di mana hadir bagi menyempurnakan pengagihan daging-daging korban ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Daging-daging korban tersebut telah diagihkan kepada anak-anak yatim, kakitangan dalam Divisyen 5 dan peserta-peserta korban.

    Sebahagian daging korban juga diagih-agihkan melalui penghantaran terus ke kediaman 60 penerima yang terdiri daripada asnaf fakir miskin serta 30 orang penerima daripada golongan susah di bawah tadahan kawasan Mukim Berakas, Mukim Gadong A dan Mukim Kota Batu, Daerah Brunei dan Muara.

    Turut mengadakan majlis serupa hari ini adalah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Masin yang berlangsung di masjid berkenaan di mana sembilan ekor lembu telah dikorbankan dan diagihkan kepada 35 buah keluarga yang kurang berkemampuan dan keluarga pelajar BIBD Advocating Life-Long Learning for an Aspiring Future (BIBD ALAF).

    Penyerahan agihan daging-daging korban telah disempurnakan oleh Penolong Mufti (Buhuth) di Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof selaku pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD.

    Pada majlis itu, BIBD turut menyumbangkan 100 buah buku Yasin sebagai wakaf ke-pada masjid berkenaan dan diserahkan oleh Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Awang Irwan bin Lamit.

    Sementara itu, Masjid Kampung Masin turut menyampaikan sumbangan melalui projek memperkasa masyarakat dengan kerjasama Pesuruhjaya ASEAN bagi Wanita Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...