Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Hubungan Brunei-M’sia terus kukuh

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam meraikan ulang tahun Hari Kebangsaan Malaysia ke-65 dengan majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Hadir selaku wakil kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan isteri, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.

    Turut hadir ialah perwakilan negara luar ke Negara Brunei Darussalam, pegawai dan kakitangan kerajaan serta para jemputan khas terdiri daripada rakyat Malaysia.

    Majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei Darussalam dan Malaysia diikuti dengan ucapan daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.

    Tuan Yang Terutama berkata, Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin. Menurutnya, kedua-dua negara terus membangunkan hubungan dua hala yang kukuh dan percaya bahawa ia akan bertambah stabil.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan TYT Dato’ Raja Reza berserta isteri masing-masing semasa memotong kek ulang tahun Hari Kebangsaan Malaysia ke-65.
    Antara perwakilan negara luar yang menghadiri majlis resepsi berkenaan.

    Menyentuh mengenai perdagangan dua hala, Tuan Yang Terutama berkata, pada 2021, jumlah dagangan Malaysia-Brunei berjumlah RM8.03 bilion, meningkat 70.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Bagi enam bulan pertama tahun ini pula, jumlah dagangan dicatatkan sebanyak RM5 bilion.
    Dengan momentum positif dan prestasi dagangan yang sangat mengagumkan ini, tidak mustahil volum dagangan melepasi paras RM10 bilion menjelang akhir tahun ini.

    Jika ini berlaku, maka buat pertama kali dalam sejarah hubungan dua hala kita, jumlah volum perdagangan boleh mencecah angka dua digit, ujarnya.

    Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa bangga dengan perjalanan PETRONAS di Brunei yang telah beroperasi sejak 2011. Di Blok CA2 di mana PETRONAS adalah pengendali, tujuh telaga penerokaan digerudi di mana gas telah ditemui.

    Pada masa ini PETRONAS sedang menghadapi persimpangan yang menarik, kerana ia memulakan aktiviti pra-pembangunan dengan hasrat untuk membangunkan projek air ultra yang pertama di Brunei.

    Tuan Yang Terutama juga mengetengahkan mengenai Konsep Keluarga Malaysia.

    Sebagai sebuah negara yang mesra dan cintakan keamanan yang harmoni, berbilang kaum, berbilang agama dan budaya, beliau berkata, Malaysia berhasrat untuk memainkan peranan proaktif di peringkat antarabangsa untuk menyumbang dengan menjadikan dunia lebih aman, adil dan makmur.

    Hari Kebangsaan Malaysia yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ menyeru semua rakyat mengetepikan perbezaan dan bersama-sama menggembleng tenaga dalam menghadapi cabaran sebagai sebuah keluarga.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...