Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Kohort IB BP JIS lulus dengan cemerlang

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan JIS

    Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah meraikan pencapaian cemerlang para pelajar Program Diploma International Baccalaureate (IB DP) bagi tahun 2022 dengan kadar lulus 100 peratus, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JIS, seramai 43 orang alumni IB DP telah berjaya menamatkan pengajian mereka selama dua tahun kebelakangan yang mencabar namun keputusan mereka terus berada pada tahap cemerlang sepanjang 10 tahun program tersebut.

    Seorang pelajar berasal dari Australia, Tiana Moore telah mencapai markah tertinggi sebanyak 44 mata, sementara itu salah seorang pelajar dari Belgium, Benjamin Hinoul, juga selaku Timbalan Kapten bagi Ibis Boys Boarding House telah memperolehi 43 mata dan menerima tawaran meneruskan pengajiannya di Homerton College, University of Cambridge.

    Manakala seramai 12 orang pelajar pula mencapai keputusan cemerlang dengan 40 mata atau ke atas.

    Secara umumnya, markah IB DP bagi purata dunia ialah 31.98 mata, namun skor purata mata di JIS ialah 35.4 iaitu sebanyak 53 peratus mencapai 36 mata atau ke atas.

    Salah seorang pelajar penerima biasiswa Kementerian Pendidikan, Awang Qawiem mencapai keputusan terbaiknya dengan memperoleh 41 mata.
    Tiana Moore, salah seorang pelajar berasal dari Australia, telah mencapai markah tertinggi sebanyak 44 mata.
    Benjamin Hinoul memperolehi 43 mata dan menerima tawaran melanjutkan pengajian di University of Cambridge.
    Kohort IB DP bersama Ketua Kurikulum Tingkatan Enam, Alex Cook dan Penolong Ketua Sekolah Kanan Tahun 12 dan 13, John van der Marel.

    Pencapaian sedemikian amat penting bagi memenuhi kelayakan untuk memasuki Russell Group Universities yang berprestij di United Kingdom yang kebiasaannya memerlukan 36 mata bagi kadar minimum kemasukannya.

    Dua orang pelajar dari Negara Brunei Darussalam dan Jerman, Awang Isyam Sazali dan Filippa Baur, kedua-duanya turut memperoleh keputusan terbaik mereka dengan 42 mata.

    Awang Qawiem Jais selaku salah seorang pelajar biasiswa Kementerian Pendidikan telah mencapai 41 mata dalam IB DP yang memberi peluang kepadanya untuk memasuki mana-mana universiti di dunia.

    Di samping kecemerlangan dalam pengajian, Awang Qawiem juga berpengalaman dalam memegang peranan kepimpinan menerusi Eagle Boarding House Council sebagai Eco-Captain, yang mana ia begitu memberi inspirasi kepada para pelajar lelaki di Eagle untuk sentiasa mempertimbangkan kesan tindakan terhadap alam sekitar.

    Dua orang pelajar dari Kanada dan Negara Brunei Darussalam, Muhammad Qaiser dan Jun Heng Tan turut memperoleh keputusan sebanyak 41 mata. Manakala empat orang pelajar lagi mencapai 40 mata terdiri dari Anusha Bhushan, Athena Chalmers, Jillian Fernandes, dan Alisha Shahromey.

    Seramai 12 orang pelajar mencapai 35 mata atau ke atas, iaitu Chloe Hill dengan 39 mata; Kiwi Li dengan 39 mata; pelajar kembar asal Australia Chi Phan memperolehi 39 mata dan Le Phan dengan 37 mata; James Bannister dengan 38 mata; Preksha Shubham dengan 38 mata; dan Aisyah Musib dengan 37 mata. Selain itu, Aliah Adzlan, Awang Wafiy Faizal Ezam, Nick Bourbon, dan Clara Grafe kesemuanya mendapat 36 mata manakala Nadhrah Melhan mendapat 35 mata.

    Menurut Pengetua JIS, Nicholas Sheehan, para pelajar yang memperoleh pencapaian cemerlang akademik mereka berkenaan pastinya akan menjadi pencetus semangat dan contoh terbaik di mata pelajar-pelajar yang masih menuntut di JIS.

    Tambahnya, kisah kejayaan golongan pelajar berkenaan tidak akan berhasil begitu sahaja tanpa adanya sokongan ibu bapa mereka dan juga pasukan akademik bersama dengan tenaga pengajar dan kakitangan pastoral yang berusaha gigih memberi inspirasi kepada golongan pelajar untuk menjadi yang terbaik.

    IB ditawarkan di JIS sebagai salah satu pilihan prauniversiti untuk 16 hingga 18 tahun dan merupakan kelayakan antarabangsa yang paling pesat berkembang di dunia.

    Untuk melengkapkan kelayakan yang mencabar berkenaan, para pelajar perlu mempelajari enam mata pelajaran iaitu tiga di peringkat tinggi dan tiga lagi di tahap standard termasuk subjek dalam Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa, Kemanusiaan, Sains, disertai dengan pilihan subjek elektif atau kreatif bagi tahun akhir.

    Di samping itu, mereka juga dikehendaki untuk melengkapkan satu penyelidikan yang mengandungi kira-kira 4,000 patah perkataan, tesis mini, serta Theory of Knowledge (ToK), kursus kemahiran berfikir kritis, dan juga subjek utama dalam komponen Creativity, Activity and Service (CAS) sepanjang dua tahun dalam pengajian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...