Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Hukum menyentuh dan memiliki anjing

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Lebih dari 1,400 tahun yang lalu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyebutkan melalui hadis Baginda mengenai anjing dan hukum bejana yang dijilat anjing.

    Begitu juga tentang tidak adanya keberkatan bagi rumah yang di dalamnya ada anjing.

    Berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam inilah perkara mengenai kenajisan anjing bukanlah satu yang baharu dan direka-reka oleh para ulama.

    Ia adalah ketetapan hukum yang berkait dengan kebersihan dan kesucian yang merupakan perkara utama dalam kehidupan seorang muslim. Kebersihan dan kesucian itu ada kaitan dengan ibadat.

    Menghukumkan anjing sebagai najis bukan bererti membenarkan orang Islam untuk memukul, menyeksa dan membunuhnya. Islam menuntut umatnya untuk berbuat baik kepada binatang kerana binatang juga adalah makhluk Allah Subhanahu wa Ta‘ala termasuk anjing sekalipun ia binatang yang najis.

    Menurut sebahagian ulama, harus memiliki atau memelihara anjing untuk keperluan berburu atau untuk tujuan menjaga sesuatu, menjaga binatang ternak dan untuk menjaga sawah ladang.
    Sesuatu menjadi najis disebabkan terkena atau tersentuh anjing, seperti seseorang yang melihat seliparnya dijilat anjing, maka selipar tersebut nyata najis dan wajib dibersihkan terlebih dahulu dengan cara yang disertu sebelum dipakai semula. – Gambar hiasan

    Namun, ini tidak bermakna kita dibolehkan memilikinya tanpa tujuan dan keperluan tertentu. Bahkan Islam telah menetapkan peraturan dan syarat-syarat dalam perkara pemeliharaan atau pemilikan anjing ini.

    Kenajisan anjing

    Selain babi, anjing juga merupakan binatang yang tergolong dalam najis mughallazhah, iaitu najis berat. Kenajisannya tidak hanya terbatas kepada air liur atau kotorannya sahaja bahkan ia merangkumi keseluruhan anggota tubuh badannya termasuk mulut, bulu, peluh dan sebagainya.

    Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Penyucian bejana setiap seorang dari kamu, apabila anjing menjilatnya, adalah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali cucian, salah satunya (cucian air yang bercampur) dengan tanah.” (Hadis riwayat Muslim)

    Jika dilihat pada perkataan Thohur pada awal permulaan matan hadis yang bermaksud penyucian nyatalah menunjukkan bahawa anjing adalah najis.

    Hanya benda atau zat yang bernajis sahaja perlu kepada penyucian.

    Apabila disebut perbuatan ‘jilat’, maka ia berkaitan dengan air liur, anggota lidah dan mulut.

    Perlu diingat, walaupun di dalam hadis hanya disebutkan cucian untuk ‘jilatan’ sahaja, namun kenajisan ini merangkumi seluruh tubuh badan anjing kerana sifat anjing yang gemar menjilat-jilat tubuh badannya.

    Apabila disebut air liurnya sebagai najis, maka begitulah juga dengan peluh yang keluar dari seluruh badannya juga adalah najis.

    Oleh itu, sesiapa yang mengatakan bahawa kenajisan anjing tersebut sebagaimana dalam hadis hanya terbatas pada air liur sahaja adalah pendapat dan tanggapan itu salah.

    Najis merupakan kotoran yang menyebabkan sembahyang tidak sah. Bila disebut pula kenajisan anjing ia juga menyentuh perkara kebersihan.

    Kebersihan pula melibatkan kesihatan. Kenajisan anjing bukan sahaja kotor tetapi juga dapat mengundang pelbagai penyakit yang menjejaskan kesihatan diri kita.

    Menurut kajian para ilmuwan Sains Perubatan terkini, pelbagai penyakit boleh terjadi dengan sebab menyentuh anjing.

    Ia boleh jadi disebabkan oleh virus, bakteria, fungus, protozoa, cacing, serangga atau hama yang terdapat di dalam atau pada badan anjing.

    Parasit yang ada pada anjing boleh sahaja berpindah kepada manusia yang mengusap bulu anjing atau tersentuh najis anjing.

    Kutu-kutu anjing pula hinggap pada tempat-tempat anjing biasa berehat di dalam sesebuah rumah.

    Jadi jika anjing tersebut tiada, kutu-kutu itu pula akan melompat ke badan manusia untuk mencari makan.

    Sebagai contoh, di kawasan tropika, berjalan kaki tanpa kasut di atas pasir atau tanah yang pernah dicemari oleh najis anjing boleh membawa kepada jangkitan cacing kerawit anjing.

    Antara penyakit yang boleh disebabkan oleh anjing ialah:

    (i) Rabies: Penyakit anjing gila yang disebabkan oleh virus yang menjangkiti sistem saraf.
    Ia terdapat pada air liur anjing dan boleh berjangkit melalui gigitan atau jilatan pada rekahan kulit manusia.

    Virus itu pula akan merebak dari luka melalui saluran saraf hingga ke otak.

    Ini menyebabkan radangan, kekejangan otot dalam kerongkong dan pelbagai gejala lain. Ia adalah penyakit yang boleh membunuh dengan nisbah peratus iaitu 100%.

    (ii) Hydatidosis: Serangan parasit yang terdiri daripada anak-anak cacing pita, digelar sebagai Echinococcus Granulosus, yang ada pada anjing.

    Ia biasa menyerang hati, paru-paru, otot atau otak yang perlahan-lahan menumbuhkan lebaman-lebaman cecair (cysts). Kehadirannya pada otak boleh mengakibatkan buta dan lumpuh. Lebaman cecair yang pecah pula boleh mengakibatkan tindak balas alergi seperti demam dan Urticaria (ruam gatal).

    Hukum menyentuh anjing

    Apabila seseorang menyentuh atau terkena mana-mana anggota anjing sama ada salah satunya (orang tersebut atau anjing tersebut) atau kedua-duanya (orang dan anjing itu) dalam keadaan basah, wajiblah disertu bahagian yang terkena najis itu sebanyak tujuh kali cucian (dengan air), salah satunya dicampur dengan tanah.

    Begitu juga apabila sesuatu menjadi najis disebabkan terkena atau tersentuh anjing, seperti seseorang yang melihat seliparnya dijilat-jilat anjing, maka selipar tersebut nyata najis dan wajib dibersihkan terlebih dahulu dengan cara yang disyari‘atkan untuk membersihkan najis mughallazzah iaitu disertu sebelum dipakai semula.

    Ini ada dinyatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah:

    “Dan apa yang menjadi najis kerana bersentuhan sesuatu daripada anjing hendaklah dicuci sebanyak tujuh kali cucian, salah satunya dengan (air yang bercampur) tanah.”

    Hukum memiliki anjing

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah memiliki anjing tanpa ada tujuan dan keperluan hukumnya adalah haram.

    Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa memiliki anjing bukan anjing bagi tujuan berburu, dan bukan tujuan menjaga binatang ternak, bukan juga bagi tujuan menjaga ladang, maka yang demikian itu menyebabkan pahalanya berkurangan dua qirath (satu qirath seperti gunung Uhud) pada setiap hari.” (Hadis riwayat Muslim)

    Menurut sebahagian ulama, harus memiliki atau memelihara anjing untuk keperluan berburu atau untuk tujuan menjaga sesuatu, menjaga binatang ternak, dan untuk menjaga sawah ladang dan diharuskan juga memiliki anak anjing untuk diajar bagi keperluan-keperluan tersebut.

    Namun adalah haram memiliki anjing jika tidak ada keperluan padanya seperti mereka yang tidak dan belum mempunyai sawah ladang dan juga mereka yang tidak berburu dan hanya berburu apabila dia berkeinginan sahaja.

    Bagaimana pula hukum memiliki anjing untuk tujuan menjaga rumah?

    Para ulama berselisih pendapat dalam perkara ini.

    Pendapat yang ashah (lebih shahih) mengatakan adalah harus memiliki atau memelihara anjing untuk keperluan menjaga rumah, pintu, gerbang dan seumpamanya berqiyaskan kepada tiga keperluan yang diharuskan iaitu kerana tujuan berkebun, berburu atau menjaga binatang ternak. Begitu juga harus menggunakan anjing terlatih bagi tujuan pengesanan dadah dan menjejaki penjenayah.

    Namun begitu seseorang tetap dikehendaki berhati-hati dan berwaspada kerana ditakuti boleh tersentuh anjing tersebut.

    Begitulah apa yang telah digariskan syara‘ mengenai hukum berkaitan anjing.

    Tentu saja ada hikmah di sebalik itu, dan yang nyata manusia turut menyangkut perkara memelihara kebersihan dan kesihatan manusia.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...