Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    ‘Ikhlas’ bantu OKU cari peluang pekerjaan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Untuk memastikan masyarakat golongan orang kelainan upaya (OKU) tidak terabai dari segi kesejahteraan dan dapat memperkasa golongan tersebut supaya mampu berdikari walaupun dengan keupayaan yang terhad, Peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-29 telah mengelolakan Projek Ikhlas.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, projek berkenaan merupakan projek bantuan kemasyarakatan yang bertujuan untuk membantu mencari peluang pekerjaan khasnya bagi penuntut-penuntut lepasan Program Pra-Vokasional di bawah Kementerian Pendidikan yang dikenal pasti sebagai golongan OKU dan berkebolehan untuk diambil bekerja.

    Lepasan penuntut-penuntut Program Pra-Vokasional berkenaan juga berdaftar di bawah Manpower Planning and Employment Council (MPEC) sebagai individu yang sedang mencari peluang pekerjaan.

    Kenyataan menyatakan, Peserta Program EDPSGO ke-29 (Kumpulan IKHLAS) dengan kerjasama Persatuan Makanan dan Minuman Brunei (BFBA) dan beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan berusaha untuk mengenal pasti seramai yang boleh penuntut-penuntut lepasan Program Pra-Vokasional yang berpotensi untuk diberi pekerjaan secara percubaan di sektor industri makanan seperti di restoran-restoran, dan seterusnya diharap mereka ini akan diberi pekerjaan secara tetap atau berkontrak.

    Pelajar-pelajar berkenaan telah tamat pengajian di peringkat pra-vokasional selama lima tahun dan telah dibekalkan dengan kemahiran-kemahiran asas hidup berdikari, asas vokasional, asas literasi dan numerasi dan sebagainya, serta belum mendapat
    pekerjaan.

    Menurut kenyataan, projek berkenaan juga akan dapat memberi kesedaran kepada orang awam dan para majikan bahawa golongan istimewa tersebut juga mampu turut serta dalam menyumbang kepada masyarakat dan negara.

    Sejak projek itu berjalan pada awal Februari ini, seramai 12 orang pelajar atau calon telah berjaya ditemu duga oleh para majikan untuk diberi peluang bekerja di restoran-restoran di seluruh negara seperti Sate House, Emas Gemilang Employment Agency, SCR Xpress, Zaitoon Beriyani & Grills dan Ar Ruhma Restaurant and Catering.

    Projek tersebut juga telah dapat meningkatkan rangkaian antara pihak badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam sama-sama membantu golongan istimewa ini supaya mereka tidak tersisih dan sama-sama memperbaiki taraf sosial dan ekonomi komuniti.

    Antara yang terlibat dalam projek berkenaan. – Gambar serahan Kumpulan IKHLAS
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...