Sunday, April 28, 2024
24.9 C
Brunei

    -

    Isu inflasi ditekankan

    BANGKOK, 15 JULAI – Pegawai-pegawai tertinggi kewangan dari Kumpulan G20 mengadakan pertemuan di Bali, Indonesia hari ini untuk membincangkan strategi menangani kemelut ekonomi berpunca daripada peperangan di Ukraine, inflasi dan krisis global lainnya.

    Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, memulakan pertemuan dua hari itu dengan menggesa rakan-rakan sejawat, ketua-ketua bank pusat dan pemimpin-pemimpin lainnya untuk mencari jalan ‘membina jambatan, bukannya penghalang’.

    Beliau berkata kegagalan akan mengakibatkan kesan ‘malapetaka’ terutama bagi negara-negara miskin.

    “Jutaan, malahan berbilion penduduk bergantung kepada kita,” kata Indrawati.

    Pertemuan di sebuah pusat peranginan di Nusa Dua, Bali adalah susulan daripada perhimpunan menteri-menteri luar awal bulan ini yang gagal mencapai kata sepakat mengenai peperangan di Ukraine dan kesan-kesan global.

    Pertemuan perwakilan kewangan G20 di Washington DC pada April menyaksikan pegawai-pegawai dari Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, Kanada dan Ukraine membantah kehadiran perwakilan Rusia. Pertemuan berakhir tanpa sebarang kenyataan yang dikeluarkan bersama.

    Namun, pertemuan-pertemuan kewangan G20 masih mempunyai kelebihan kerana kurang usur politik, tambah Indrawati.

    Indonesia, selaku tuan rumah, cuba bertindak sebagai ‘orang tengah yang telus’, kata Indrawati, menyatukan Timur dan Barat dalam G20, perpecahan yang semakin ketara sejak Rusia menceroboh Ukraine pada lewat Februari.

    Menteri-menteri kewangan masih mencari jalan untuk menyelaraskan bagaimana mereka dapat menangani ekonomi semasa inflasi yang berada di paras tertinggi sejak 40 tahun, dengan gangguan rantaian bekalan dan kekurangan bekalan disebabkan pandemik koronavirus dan memperkukuh sistem kewangan bagi risiko masa hadapan. – AP

    Sri Mulyani Indrawati (kiri) mengalu-alukan kehadiran Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen semasa pertemuan Menteri-menteri Kewangan G20 di Nusa Dua, kelmarin.- AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    4 maut diserang gajah liar di India

    NEW DELHI, 28 APRIL - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk pegawai perhutanan maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua...