Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Sempena Hari Juruukur Sedunia 2022, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan mengadakan aktiviti penanaman sebanyak 300 pokok di Taman Rekreasi Tanjung Batu, Muara, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan turut serta dalam aktiviti penanaman pokok berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong dan Pemangku Penghulu Mukim Serasa, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman serta Pengasas Bersama dan Pengarah Pendekatan Komuniti Green Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Ash’ari.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin, setiausaha tetap, pemangku setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua pengarah kerja raya, ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Pembangunan, pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Ukur serta ahli-ahli Institusi Geomatik Brunei (B.I.G).
Acara dimulakan dengan sesi bergambar ramai diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Perlindungan daripada COVID, aktiviti senaman ringan serta aktiviti penanaman pokok yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi.
Acara diakhiri dengan pengagihan hadiah kepada para peserta Virtual Run 22km di mana acara larian maya itu merupakan salah satu aktiviti yang diadakan oleh Jabatan Ukur sempena Hari Juruukur Sedunia 2022 bermula pada 1 hingga 22 Mac lalu.
Penanaman 300 pokok itumerupakan salah satu usaha mendukung Garis panduan Protokol Hijau dalam Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.