Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Jasa Duta Kesultanan Oman dihargai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman terus meningkatkan lagi hubungan persahabatan, kerjasama dua hala serta mengembangkan lagi ikatan kerjasama yang ada dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan, pendidikan, ekonomi dan kebudayaan.

    Hubungan dua hala itu telah berkembang dengan positif sepanjang tempoh perkhidmatan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari yang akan menamatkan perkhidmatannya.

    Sebagai tanda penghargaan kepada segala usaha TYT Sheikh Ahmed serta isteri, Kor Diplomatik mengadakan majlis makan malam bagi Tuan Yang Terutama yang berlangsung di The Empire Brunei, kelmarin.

    Pada majlis tersebut, Timbalan Dekan Kor Diplomatik dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Dr Sujatmiko dalam ucapannya bagi mewakili Kor Diplomatik merakamkan ucapan tahniah kepada TYT Sheikh Ahmed atas usahanya untuk mengembangkan lagi hubungan dua hala antara Brunei dan Oman.

    Beliau menyatakan lagi, dalam tempoh perkhidmatan TYT Sheikh Ahmed selama lebih lapan tahun, Oman dan Brunei telah menyaksikan peningkatan kerjasama dua hala yang meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kebudayaan dan ekonomi.

    Sementara itu, TYT Sheikh Ahmed dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja di samping kerajaan Baginda dan Kor Diplomatik atas kerjasama dan sokongan yang dihulurkan sepanjang perkhidmatannya di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau menambah sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada kedutaannya sepanjang tempoh perkhidmatannya telah menyumbang kepada perkembangan signifikan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara.

    Beliau juga merakamkan perasaan penghargaan kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam atas layanan mesra mereka kepadanya sepanjang perkhidmatannya.

    TYT Sheikh Ahmed menyembahkan surat tauliah lantikan ke hadapan majlis Baginda Sultan pada 25 Februari 2014. Beliau juga telah menjawat jawatan selaku dekan Kor Diplomatik dari 4 September 2018 hingga 30 Ogos 2022.

    Ahli Kor Diplomatik bergambar ramai bersama TYT Sheikh Ahmed dan isteri semasa majlis makan malam bagi TYT Sheikh Ahmed yang berlangsung di The Empire Brunei, kelmarin.
    TYT Sheikh Ahmed menerima cenderahati daripada Kor Diplomatik yang disampaikan oleh TYT Dr Sujatmiko dengan disaksikan oleh isteri masing-masing.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...