Saturday, May 18, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Jerayawara SHENA tumpu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sebagai sebahagian daripada Bulan Keselamatan SHENA 2023, Jerayawara Bulan Keselamatan SHENA di Daerah Brunei dan Muara yang mempamerkan kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja telah diadakan di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), hari ini.

    Hadir menyempurnakan pembukaan jerayawara berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut.

    Pada majlis itu, Ketua Pe-gawai Eksekutif Sementara SHENA, Datin Zubaidah binti Haji Mahmud dalam kata alu-aluannya menyatakan visi Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) adalah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai tempat yang selamat untuk bekerja dan didiami.

    “Dalam menerajui visi ini, SHENA memainkan peranan besar dalam mengekal teguh, rangka kerja, mengawal selia amalan-amalan HSE di peringkat negara dan memastikan pihak-pihak berkewajipan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa di bawah pelaksanaan SHENA.”

    Usaha-usaha itu, tambahnya, bertujuan untuk memastikan budaya yang diamalkan di tempat kerja mampu mengurangkan risiko kepada orang ramai, aset dan persekitaran betahap serendah mungkin dengan munasabah.

    Awang Salminan menyaksikan dan diberikan penerangan semasa pameran mengenai fungsi-fungsi SHENA dan inisiatif mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
    Awang Salminan bergambar-ramai semasa Jerayawara Bulan Keselamatan SHENA 2023 di Daerah Brunei-Muara yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini.
    Gambar ramai pemenang Play & Win.
    Datin Zubaidah menyampaikan kata alu-aluannya di Jerayawara Bulan Keselamatan SHENA 2023 di Daerah Brunei-Muara yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini.

    Selaras dengan tema ‘Persekitaran Kerja yang Selamat dan Sihat’ serta komitmen SHENA, Datin Zubaidah berkata beberapa aktiviti telah dirancang sepanjang Mei dan Jun untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya peranan masing-masing dalam memastikan usaha-usaha yang menjurus kepada penyediaan tempat kerja yang selamat dan sihat serta penjagaan kesejahteraan pekerja adalah wajib bagi setiap majikan supaya kemalangan yang serius dan kematian mampu dielakkan.

    Pada majlis itu, Awang Salminan mengadakan lawatan pameran mengenai fungsi-fungsi SHENA dan inisiatif mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang dipromosikan oleh Sekreariat MPEC, JobCentre Brunei, Jabatan Kerja Raya (JKR), Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Pusat Promosi Kesihatan, Brunei Asia Pacific Shell Learning Hub (BAPSLH), Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L), Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Unified National Net-works (UNN), Megamas Training Co Sdn Bhd, Klinik Kare Medical, Berjaya Aman Sdn Bhd, Syarikat Cortex Training & Development, dan Lifesaving Academy Company.

    Aktiviti lain semasa jerayawara daerah berkenaan termasuk siri ceramah bermaklumat mengenai penyakit pekerjaan yang baru muncul dan cara-cara memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat. Permainan interaktif juga disediakan semasa jerayawara berkenaan.

    Salah satu sorotan program jerayawara merupakan mengenai Pemberitahuan Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (WSHN) yang baru diterbitkan mengenai Langkah-langkah Pencegahan Tekanan Haba di tempat kerja yang menekankan kepentingan melindungi pekerja dalam keadaan cuaca panas dan kering.

    Acara turut menyaksikan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Play & Win iaitu Awang Amirol Hamzah bin Basri, Awang Mohd Rufian bin Pengarah Haji Abdul Rahman dan Awang Muhammad Fitri bin Ahman.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...