Selepas kumpulan BTS membuat pengumuman bakal berehat seketika dan memberi fokus kepada kerjaya seni secara solo, salah seorang anggotanya iaitu Jin memberitahu dia mahu terlibat dengan program televisyen (TV).
Melihat keseronokan dalam program sebegitu, kata Jin pilihan tersebut bukan kerana dirinya popular atau kemasyhuran yang dikecapi bersama BTS.
“Saya mahu terlibat dalam program televisyen untuk membuatkan diri saya gembira.
“Bukan disebabkan populariti yang ada tetapi saya rasakan penggambaran program seperti itu menyeronokkan.
“Saya tahu penggambarannya sangat mencabar namun ia boleh buat saya ketawa ketika berada di lokasi,” katanya dalam temu bual bersama Weverse Magazine.
Sementara itu Jin turut mengulas perkembangan dirinya menjadi seorang yang lebih berkeyakinan sepanjang 10 tahun bersama BTS.
“Personaliti saya berubah sepanjang bersama BTS. Jika ada sebarang kerja saya rasa boleh melakukannya sekarang ini,” ujarnya.
Sebelum ini, BTS menyampaikan khabar duka buat peminat bahawa mereka mengambil masa rehat dalam tempoh yang belum diketahui. – Agensi