Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Kaedah pembelajaran bersemuka kembali awal April

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka akan kembali dilaksanakan bagi semua institusi pendidikan awam, swasta dan antarabangsa di bawah kawalan kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bermula 4 atau pada 5 April tertakluk kepada bermulanya tarikh 1 Ramadan 1443 Hijrah.

    Ini termasuk pusat penjagaan kanak-kanak, pusat-pusat khas, peringkat tadika, peringkat Pra hingga Tahun 6 iaitu hanya bagi sekolah rendah yang mempunyai keramaian kurang 50 pelajar, peringkat menengah, maktab dan pusat-pusat tingkatan enam iaitu Tahun 7 hingga Tahun 13.

    Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Perkara tersebut dibuat dengan meletakkan keutamaan kepada memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan para pelajar, tenaga pengajar dan seluruh komuniti sekolah, dan mengambil kira tren penurunan jangkitan pandemik COVID di Negara Brunei Darussalam dengan persetujuan dan sokongan Jawatankuasa Pandu COVID-19.

    Beliau juga bercakap bagi Kementerian Pendidikan dan KHEU memberikan pertimbangan khas bagi mana-mana institusi pendidikan yang memohon untuk beroperasi menggunakan kaedah pembelajaran secara dalam talian atau Home Based Learning (HBL).

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa mengumumkan mengenai pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka yang akan diadakan pada awal April semasa sidang media tersebut.
    Gambar fail pelajar-pelajar memakai pelitup muka semasa menjalani pembelajaran secara bersemuka.

    “Sukacita merujuk kepada penera-ngan Yang Berhormat Menteri Kesihatan, timbalan setiausaha tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan dan ketua perkhidmatan pediatrik, Kementerian Kesihatan mengenai program vaksinasi dan impak vaksinasi ke atas kanak-kanak yang berumur di antara lima hingga 11 tahun, Kementerian Pendidikan akan memaklumkan tarikh untuk mereka hadir ke sekolah secara bersemuka dalam masa yang terdekat.”

    Yang Berhormat Dato turut menyatakan bahawa seiring dengan usaha untuk memastikan premis sekolah adalah selamat bagi semua pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan sekolah yang lainnya, pematuhan protokol dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan di sekolah-sekolah yang ada pada masa ini adalah akan terus dilaksanakan dan juga dipraktikkan.

    “Dipohonkan agar pelaksanaan dan pematuhan protokol serta SOP ini akan diiringi dengan sikap bekerjasama di kalangan pihak-pihak berkepentingan dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti sekolah-sekolah.”

    Yang Berhormat Dato berkata, “Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan ingin menasihatkan para ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar untuk sentiasa memantau kesihatan anak-anak abiskita dan memastikan mereka tidak mengalami sebarang gejala seperti batuk, selesema dan seumpamanya sebelum pergi ke sekolah dan untuk menjalani ujian ART dua kali seminggu seperti yang disarankan oleh pihak berwajib.

    “Marilah kita sama-sama terus menggembeling usaha dan berdoa bagi memastikan suasana persekolahan selamat agar dapat menyumbang kepada tahap kesihatan masyarakat dan negara yang lebih stabil.”

    Kementerian Pendidikan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas komitmen para guru dan kesefahaman serta sokongan ibu bapa serta penjaga yang tidak kendur-kendur memberikan kerjasama dalam memastikan para pelajar dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran dengan baik dalam apa jua kaedah yang ditentukan sesuai dengan keperluan semasa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...