Saturday, May 18, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Kapal tercanggih AS mula latihan

    NORFOLK, 30 SEPT – Selepas ditangguh bertahun-tahun dan berdepan masalah kelengkapan teknologi terkini, kapal pengangkut pesawat tercanggih Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) memulakan latihan pertamanya minggu depan.

    Kapal itu akan terlibat dalam latihan dengan negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di tengah-tengah ketegangan dicetuskan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

    Tentera Laut AS dalam satu kenyataan semalam memaklumkan aset digelar USS Gerald R Ford akan meninggalkan pangkalan tentera laut terbesar dunia di Norfolk, Virginia pada Isnin depan, bersama kapal pemusnah dan kapal perang lain.

    Kapal pengangkut itu bakal menyertai kapal lain dari beberapa negara termasuk Perancis, Jerman dan Sweden di Lautan Atlantik, untuk menjalankan pelbagai latihan termasuk peperangan anti kapal selam.

    Naib Laksamana Tentera Laut AS, Daniel Dwyer, berkata perairan itu dipilih kerana ia kawasan berkepentingan strategik.

    “Matlamat utama kami adalah memberi sumbangan kepada rantau Atlantik yang aman, stabil dan bebas konflik melalui gabungan kuasa tentera laut sekutu serta rakan kongsi kami,” katanya dalam satu kenyataan.

    Dwyer mengetuai Armada Kedua Tentera Laut AS bagi mengawasi kapal perang AS yang ditempatkan negara itu antara Pantai Timur AS dan Laut Barents iaitu di luar pesisir pantai Norway serta Rusia.

    AS turut menajamkan tumpuannya di Atlantik Utara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas tentera Rusia meningkatkan operasi ke tahap yang tidak pernah dilihat sejak Perang Dingin berakhir. – AP

    Gambar fail menunjukkan kapal induk pesawat USS Gerald R Ford dalam perjalanan ke Norfolk. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...