Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Kelibat buaya dalam longkang kejutkan penduduk

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Kemunculan seekor buaya (gambar) berukuran empat meter panjang dalam longkang telah mengejutkan penduduk di kawasan Kampung Tasek Meradun, petang kelmarin.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyatakan tujuh anggota dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan yang diketuai oleh ABK 142 Matnoor bin Haji Mohd Hussin telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

    Kerjasama bersepadu anggota bomba dan beberapa orang dari Bahagian Hidupan Liar berjaya menangkap buaya tersebut dengan menggunakan tali khas dan snare catcher.  

    JBP menyatakan buaya tersebut diserahkan kepada Bahagian Hidupan Liar dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

    Punca binatang-binatang liar seperti buaya, biawak, ular dan sebagainya muncul di tempat yang tidak sepatutnya adalah disebabkan kawasan yang tidak bersih dan teratur (mengundang binatang kecil seperti tikus).

    Rumput atau lalang yang terlalu panjang boleh menjadi tempat tinggal binatang liar berkenaan, di samping binatang ternakan atau haiwan peliharaan yang boleh menjadi sasaran binatang liar.

    Oleh itu, JBP menyarankan orang awam agar memastikan persekitaran kawasan dalam keadaan bersih dan teratur selain turut memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup jika tidak berada di rumah bagi mengelakkan binatang-binatang liar seperti anjing, ular, buaya dan monyet memasuki rumah.

    Orang ramai juga diingatkan untuk sama-sama memastikan keselamatan penduduk yang tinggal berdekatan agar lebih berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

    Anggota dari Bahagian Hidupan Liar ketika menangkap buaya berkenaan di kawasan Kampung Tasek Meradun, baru-baru ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...