Wednesday, May 22, 2024
30.1 C
Brunei

    -

    Kes penipuan tepung, kakitangan HBMS dipanggil

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Kes melibatkan tiga rakyat Malaysia yang menghadapi 45 pertuduhan bersubahat menipu Hyatt Borneo Management Services (HBMS), penyedia perkhidmatan yang berpangkalan di Istana Nurul Iman, telah menyaksikan pihak pendakwa raya memanggil kakitangan bahagian penerimaan HBMS di Mahkamah Majistret, hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman, Pendakwa Raya Atiyyah Abas dan Pendakwa Raya Syazwani Jumat mengemukakan tepung jenama Dawn sebagai ekshibit di mahkamah dan menyediakan invois-invois serta tempahan penghantaran.

    Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman kemudian menangguhkan perbicaraan hingga 18 Jun, untuk meneruskan dengan saksi-saksi yang sama.

    Peguam Bela Ang Swee Kiang dari Tetuan Yu dan Chiew mewakili Sam Ying Kok dan Juanita binti Dato Paduka Haji Jemat dari Tetuan Fathan dan Co mewakili Iskak bin Rahmat, manakala itu, Abdul Sani bin Abdul Mutalib diwakili oleh Sharah Abdul Hamid dari Tetuan ZS Legal.

    Pertuduhan-pertuduhan berkenaan dikemukakan hasil siasatan yang dijalankan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR).

    Gambar Freepik

    Dalam penemuan mereka, Perusahaan Ala Haji Bolhassan, pembekal lama tepung kepada HBMS, telah membekalkan tepung penaik jenama Dawn yang tamat tempoh kepada HBMS.

    Tepung-tepung berkenaan didakwa lebihan daripada tempahan yang dibuat oleh Perusahaan Ala Haji Bolhassan semasa pandemik COVID dan tidak terjual sehingga tarikh luput. Selepas sekatan COVID ditarik balik, syarikat itu menjual tepung yang telah tamat tempoh kepada HBMS.

    BMR melancarkan siasatan pada Jun 2022 di mana mereka menahan Pengurus Besar Perusahaan Ala Haji Bolhassan, Sam, 51; Cef Pastri HBMS, Iskak, 56; dan Pengurus Bahan HBMS, Abdul Sani, 56.

    Pertuduhan-pertuduhan menyatakan bahawa Sam bersubahat dengan Iskak dan Abdul Sani untuk menipu HBMS agar mempercayai bahawa tepung yang dibekalkan dan dihantar oleh Perusahaan Ala Haji Bolhassan antara 1 Februari 2021 dan 1 Mac 2022 masih boleh digunakan apabila ia tamat tempoh.

    Dengan penipuan itu, HBMS membuat tempahan dan seterusnya membuat pembayaran berjumlah $25,780.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pilihan raya Iran ditetapkan pada 28 Jun

    TEHRAN, 21 MEI - Selepas meneliti masa proses pilihan raya, ketua-ketua cabang kuasa Iran telah memutuskan 28 Jun sebagai tarikh untuk memilih presiden baharu,...