Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Kes tempatan melonjak, 441 kes COVID-19 dikesan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Sebanyak 441 kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini di mana 440 kes adalah terdiri daripada kes tempatan dan satu adalah kes import yang membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 18,845 orang.

    Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

    “Di kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, empat kes dalam kategori 4 (memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi) dan tidak ada kes dalam kategori 5 (memerlukan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Intensif),” jelas beliau lagi.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa sebanyak 61 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 16,290 kes dengan 2,453 kes aktif.

    “Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 32.6 peratus,” tambah beliau.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media COVID-19 di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Dalam pada itu, terdapat 60 kluster aktif di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan pada ketika ini, yang mana tidak ada kluster baharu melibatkan premis perniagaan atau tempat awam dikesan pada hari ini.

    Menyentuh mengenai perkembangan program vaksinasi kebangsaan, Yang Berhormat Dato berkata bahawa setakat kelmarin, kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin dan telah menerima dua dos vaksin COVID-19 masing-masing telah mencapai 94 peratus, manakala itu, 43.6 peratus pula telah menerima tiga dos.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa bagi sekatan pergerakan yang dijalankan dari pukul 12 malam semalam hingga 4 pagi tadi, tidak ada pelanggaran arahan dikesan di seluruh negara.

    Sebelum mengakhiri kenyataan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menyeru kepada orang ramai untuk terus mengamalkan langkah-langkah pengawalan serta mematuhi nasihat-nasihat yang telah disarankan di dalam segala garis panduan diberikan pihak kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

    “Semoga Allah SWT sentiasa melindungi Negara Brunei Darussalam daripada segala musibah dan bencana khususnya wabak COVID-19,” beliau mendoakan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...