Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Komited beri perkhidmatan terbaik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Kementerian Kesihatan melalui Pelan Strategik 2019-2023 akan memfokuskan kepada enam kluster.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata demikian semasa menyampaikan ucapan mukadimah di Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.

    Kluster yang pertama ialah meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai. Ini di antaranya termasuk penyampaian perkhidmatan yang cemerlang; penambahbaikan fasiliti; membina kakitangan yang terlatih dan penyampaian perkhidmatan yang lebih inovatif dan berkesan.

    Kluster seterusnya, menilai secara berterusan perkhidmatan yang lebih baik dikendalikan sendiri atau dikendalikan secara penyumberan luar. Antara amalan terbaik yang dikendalikan oleh perkhidmatan klinikal di bawah Kementerian Kesihatan ialah penyumberan luar perkhidmatan bukan klinikal oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang tersebut yang diyakini dapat mengendalikannya dengan lebih baik dan pada masa yang sama, membolehkan Kementerian Kesihatan memfokuskan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan klinikal yang merupakan tanggungjawab teras di kementerian ini.

    Antaranya ialah penyumberan luar perkhidmatan porter yang telah menjana 208 peluang pekerjaan bagi anak tempatan. Ia sekali gus dapat menampung kekurangan bilangan kakitangan atendan hospital yang diperlukan bagi memenuhi skop perkhidmatan yang bertambah di hospital-hospital.

    Berhubung penambahbaikan infrastruktur pula, dengan siapnya blok tambahan di Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong nanti, perkhidmatan perubatan khususnya bagi penduduk yang berdekatan akan dapat dikendalikan dengan lebih berkesan.

    Dalam masa yang sama, dengan bantuan Jabatan Masjid-masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan telah mengendalikan perkhidmatan bas pengangkutan dari Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong ke Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong bagi menangani isu tempat letak kereta yang terhad di kawasan berkenaan.

    Kemudian, kluster ketiga ialah meningkatkan saringan kesihatan penduduk bagi penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit. Kementerian Kesihatan akan terus membuat pelaburan untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan penduduk di negara ini, terutama sekali dalam mengurangkan kadar kematian pramatang iaitu kematian di bawah usia 70 tahun, akibat penyakit-penyakit tidak berjangkit.

    Menurut Yang Berhormat Dato, pengesanan dan rawatan awal, pada jangka masa panjang, akan menghasilkan penjimatan kepada kerajaan.

    “Sebagai contoh, kos bagi rawatan kanser payudara peringkat permulaan adalah dalam purata $20,000 bagi setiap pesakit, berbanding dengan $100,000 bagi setiap pesakit yang menjalani rawatan kanser payudara peringkat kedua. Ini bermakna terdapat penjimatan sebanyak kira-kira $5 juta setahun jika pesakit-pesakit tersebut dikesan lebih awal.”

    Dalam pada itu, sebagai salah satu langkah ke hadapan, kaedah saringan genomik bagi penyakit-penyakit tertentu juga telah dimulakan dan di masa akan datang, konsep rawatan terkini menggunakan genomic banking juga mungkin akan diterokai.

    Kluster seterusnya, meningkatkan kemampuan perkhidmatan makmal dengan ujian-ujian makmal yang semakin hari semakin maju dan canggih.

    Pewujudan beberapa ujian-ujian tertentu yang terkini seperti ujian keselamatan dan pengesanan pencemaran ke atas produk-produk ubat-ubatan dan juga makanan yang dijalankan secara tempatan mampu membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam penjanaan ekonomi di dalam negara dan mendukung dalam import/eksport barangan atau makanan.

    Dalam perkara ini, Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dan mendukung usaha-usaha oleh agensi-agensi yang berkepentingan dalam industri-industri berkenaan.

    Kluster kelima ialah meningkatkan kerjasama dengan pihak swasta seperti dengan kaedah Perkongsian Awam-Swasta (PPP) melalui Program Penyatuan Fiskal (FCP).

    Di samping dapat membantu mengembangkan ekonomi dalam sektor kesihatan, ia juga mendukung hasrat negara ke arah ekonomi yang mampan. Ini secara langsung menyumbang kepada peningkatan peluang-peluang pekerjaan bagi belia menceburi perkhidmatan sokongan di sektor awam dalam bidang kesihatan.

    Kluster yang terakhir ialah meningkatkan hasil kerajaan melalui amalan kutipan hasil yang cekap dan memberi kemudahan akses kepada perkhidmatan dan rawatan.

    Ke arah mengurangkan bebanan tunggakan kutipan hasil, Kementerian Kesihatan juga bekerjasama dengan beberapa agensi yang berkepentingan untuk meneliti dan mengemas kini perlindungan insuran perubatan yang komprehensif bagi pekerja asing.

    Inisiatif ini juga mempunyai nilai tambah dalam memastikan penjagaan kesihatan pekerja-pekerja asing di negara ini terjamin, di samping memastikan produktiviti dan kesejahteraan mereka di sepanjang tempoh mereka bekerja di negara ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...