Tuesday, May 7, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Korea Selatan digesa siasat isu anak angkat

    SEOUL, 23 OGOS – Berpuluh-puluh warga Korea Selatan yang dijadikan anak angkat oleh ibu bapa warga Denmark berdekad-dekad lalu, telah secara rasminya menuntut kerajaan Korea Selatan menyiasat pengangkatan mereka, yang menurut mereka dicemari amalan pemalsuan dan mengaburi asal usul kanak-kanak terbabit secara berleluasa.

    Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian di Seoul ada masa sehingga empat bulan untuk memutuskan permohonan yang difailkan secara berkumpulan hari ini oleh 53 orang anak angkat.

    Jika ia menerima, maka ia boleh mencetuskan siasatan lebih meluas ke atas isu pengangkatan anak warga asing di negara itu, yang tidak pernah sepenuhnya mengakui kegilaan eksport anak dibuat oleh kerajaan tentera lalunya yang memerintah dari tahun 1960an sehingga 80an.

    Permohonan memetik beberapa aduan yang menekankan sejumlah kanak-kanak dipisahkan dengan kecuaian atau dengan cara tidak sepatutnya daripada keluarga mereka di tengah-tengah pemantauan longgar kerajaan dan ketidaktelusan.

    Kebanyakan anak angkat dari Korea Selatan dihantar ke luar negara didaftarkan oleh agensi sebagai anak yatim sah yang ditemui terbiar di jalanan, meskipun mereka lazimnya mempunyai sanak saudara yang dengan mudah dikenal pasti dan ditemui. Ini membuatkan kanak-kanak lebih mudah dijadikan anak angkat oleh agensi yang berlumba-lumba menghantar lebih ramai kanak-kanak ke Barat.

    “Tiada seorang pun daripada kami adalah anak yatim,” kata Peter Moller, peguam dan Ketua Hak Asasi Kumpulan Korea Denmark, ketika dia menerangkan mengenai ahli-ahli yang memfailkan permohonan.

    “Dalam banyak dokumen itu, Korea menjelaskan pada dokumen diluluskan bahawa orang-orang ini ditemui di jalanan. Jika awda mengira, ia bermakna dari 1970an dan 1980an, Seoul telah dibanjiri dengan kanak-kanak ditinggalkan dalam bakul di jalan-jalan dan tingkat bawah bangunan, yang akan dipenuhi oleh laporan kanak-kanak hilang di balai polis,” tambahnya.

    Moller yang dijadikan anak angkat di Denmark dalam 1974, mengatakan 50 lagi ahli kumpulan dijangka menyertai permohonan dan dia merancang kembali ke Korea Selatan bersama fail mereka pada September. – AP

    Moller membawa fail ahli-ahli Kumpulan Korea Denmark untuk difailkan di Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian di Seoul, Korea Selatan, 23 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia tuduh China berkelakuan bahaya berkaitan jet pejuang

    MELBOURNE, 7 MEI - Australia telah memprotes Beijing melalui pelbagai saluran bahawa sebuah jet pejuang China membahayakan helikopter tentera laut Australia dengan suar di...