Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Korea selatan, Utara saling kerah pesawat pejuang

    SEOUL, 4 NOV – Korea Selatan hari ini mengerahkan pesawat pejuangnya selepas mengesan 180 pesawat Korea Utara susulan ujian peluru berpandu oleh Pyongyang minggu ini.

    Pengerahan berlaku sehari selepas Korea Utara menjalankan ujian peluru berpandu balistik antara benua yang gagal dan susulan keputusan Seoul dan Washington untuk melanjutkan latihan udara bersama terbesar yang menimbulkan kemarahan Pyongyang. Menurut Ketua Turus Bersama Seoul, tenteranya mengesan kira-kira 180 pesawat pejuang Korea Utara digerakkan di ruang udara Pyongyang lalu Seoul mengarahkan 80 jet pejuang termasuk F-35A jet untuk bersedia.

    Menurutnya, sebelum itu Korea Utara juga telah melancarkan 80 das tembakan artileri yang mendarat di ‘zon penampan’ maritim dan serangan itu adalah ‘pelanggaran jelas’ perjanjian 2018 yang mewujudkan zon penampan dalam usaha mengurangkan ketegangan antara kedua-dua pihak.

    “Tembakan artileri berlaku selepas Pyongyang melepaskan kira-kira 30 peluru berpandu pada Rabu dan Khamis, termasuk peluru berpandu balistik antara benua dan sebuah daripadanya mendarat berhampiran perairan wilayah Korea Selatan buat kali pertama sejak berakhirnya Perang Korea pada 1953,” tambahnya.

    Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin menyifatkan pelancaran peluru berpandu Pyongyang sebagai ‘tidak sah’ dan Seoul serta Washington tetap meneruskan kerjasama itu.

    Pakar berkata, Pyongyang sedang meningkatkan ujiannya sebagai protes terhadap latihan AS-Korea Selatan dan Seoul perlu ‘membayar harga paling mengerikan dalam sejarah’ jika ia berterusan.

    “Korea Utara amat sensitif mengenai latihan udara itu kerana tentera udaranya sendiri antara paling lemah dalam tenteranya, kekurangan jet berteknologi tinggi dan juruterbang terlatih,” menurut pakar.

    Washington dan Seoul telah berulang kali memberi amaran bahawa pelancaran Pyongyang boleh menjadi pelopor kepada ujian nuklear yang ketujuh. – AFP

    Pesawat pejuang Angkatan Tentera Udara AS, Thunderbolt semasa berlepas dari Pangkalan Udara Osan di Pyeongtaek, 4 November, ketika Korea Selatan dan AS setuju menyambung latihan udara bersama yang mencetuskan kemarahan Pyongyang. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...