Wednesday, May 8, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Lahir belia, beliawanis masjid berwawasan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Majlis Pelantikan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Seluruh Negara yang baharu bagi Sesi 2022-2024 telah diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim yang turut menyampaikan surat lantikan kepada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi baharu.

    Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Unit Belia di bawah Bahagian Imarah bertanggungjawab memeduli khususnya pentadbiran dan pengurusan kumpulan belia dan beliawanis masjid di seluruh negara dengan keahlian yang semakin meningkat setiap tahun.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pelantikan ahli-ahli baharu itu merupakan salah satu inisiatif unit itu untuk mencapai visi dan misi Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui gabungan belia dan beliawanis masjid dalam pembentukan ahli Jawatankuasa Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid (AJKKBM).

    Ia adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan belia dan beliawanis yang berwawasan.

    ATAS & BAWAH: Haji Mohammad Rosli menyampaikan sijil pelantikan kepada beliawanis dan belia pada majlis tersebut.

    Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Seluruh Negara yang baru dilantik, Awang Muhammad Hajid bin Mirhasan semasa ditemu bual Media Permata telah mengongsikan beberapa kepentingan jawatankuasa tersebut.

    “Dengan tertubuhnya Jawatankuasa Belia Masjid Senegara ini, kolaborasi dengan belia-belia di masjid lain dapat dijalankan secara lebih padu dan mampan,” jelasnya.

    Selain itu, mereka juga ingin membuat garis panduan bagi belia-belia masjid, contohnya ciri-ciri pemilihan ahli jawatankuasa masjid, unit-unit yang perlu ditubuhkan dalam setiap masjid, peranan belia masjid dan sebagainya. Latihan berpusat juga dalam rancangan beliau agar ilmu yang diperolehi daripada sesebuah program di sesebuah masjid dapat disebarkan kepada seluruh belia masjid di negara ini, sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

    “Memandangkan kita berada di akhir zaman, Program Memanah adalah perkara yang penting kerana kami ingin menjadi peneraju kumpulan yang menyahut sunah Rasulullah SAW. Selain itu, kami juga ingin mengimplementasikan ilmu kemahiran pengurusan kewangan yang lebih memfokuskan kepada emas. Kedua-duanya untuk persediaan kita menuju ke akhir zaman,” jelasnya, menambah bahawa ilmu akhir zaman juga akan diterapkan nanti.

    Awang Muhammad Hajid juga berharap agar belia-belia masjid senegara itu menjadi peneraju atau penggerak dalam menyahut sunah Rasulullah SAW.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...