Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Lapor jika berlaku penyelewengan minyak masak

    SANDAKAN, 26 MEI – Pengguna di Sabah terutama di pantai timur, diminta menyalurkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika berlaku penyelewengan dalam penjualan minyak masak.

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata biarpun pihak penguatkuasaan KPDNHEP menjalankan siasatan secara berterusan, maklumat daripada masyarakat juga berguna dalam membanteras penyelewengan itu.

    “Mungkin ada penyelewengan minyak masak berlaku yang kami tidak ketahui, jadi kami berharap ada kerjasama daripada semua pihak.

    “Jangan takut sebab kami ada pelbagai saluran untuk aduan dan maklum balas yang boleh sampai kepada pihak kementerian,” katanya selepas meninjau harga dan bekalan barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Kaamatan 2022 di sini, hari ini.

    Nanta ditanya pemberita mengenai isu penyelewengan minyak masak bersubsidi di pantai timur Sabah, sama ada dijual ke negara jiran atau minyak masak paket dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan pada harga tinggi oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

    Mengenai SHMMP, beliau berkata maklum balas yang diterima KPDNHEP mendapati bekalan barangan terlibat mencukupi di Sabah.

    “Kami sentiasa sensitif dan prihatin dengan keadaan bekalan barangan keperluan lebih-lebih lagi ketika musim perayaan, baru-baru ini kami merayakan Aidilfitri dan beberapa hari lagi Pesta Kaamatan di Sabah dan Gawai di Sarawak,” tambahnya. – Bernama

    Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) melihat tanda harga minyak masak peket yang dijual di sebuah pasar raya sewaktu mengadakan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Kaamatan 2022. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...