IPOH, 9 MEI – Seorang pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran yang mahu dikenali sebagai Ah Choong, 22, yang terkandas di Myanmar sejak Disember lepas akibat ditipu sindiket pekerjaan di media sosial yang menjanjikan gaji lumayan, merayu kepada kerajaan agar diselamatkan dengan segera.
Bapa saudara mangsa yang mahu dikenali sebagai Ah Lee, 48, berkata dia mula menyedari tentang kejadian itu selepas dia menerima notifikasi transaksi yang tidak kenali sebanyak 55 kali pada telefon miliknya sebanyak RM90,104 ke dalam akaun bank anak buahnya dalam masa dua hari yang disyaki disalahgunakan oleh sindiket penipuan pada 27 April lepas.
“Sejak pertengahan Mac lalu, kami mengambil maklum tentang kehilangan Ah Choong dari Ipoh bersama teman wanitanya yang menetap di Kedah sehinggalah saya berjaya menghubunginya pada minggu lepas dan dia meminta wang pampasan untuk kembali pulang ke Malaysia,” katanya pada sidang media bersama ahli keluarga mangsa pemerdagangan manusia di Bangunan MCA Perak di sini hari ini.
Menurutnya demi mengambil langkah bertanggungjawab, dia memegang pasport milik anak saudaranya itu agar tidak hilang atau disalahgunakan oleh orang lain namun ejen syarikat tersebut bertindak membuat laporan polis tentang kehilangan pasport mangsa untuk menggantikan yang baharu lalu membawanya ke Myanmar. – Bernama