Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Majlis ibadah korban terus semarak Hari Raya Aidiladha

    Oleh Ak Zaki Kasharan, Salawati Haji Yahya & Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, kementerian-kementerian, jabatan kerajaan dan pihak berkepentingan, hari ini, giat melaksanakan ibadah korban bagi warganya dalam memenuhi tuntutan agama Islam.

    Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya adalah antara yang mengadakan majlis ibadah korban di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, hari ini, di mana enam ekor kerbau telah dikorbankan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang turut menyempurnakan pengagihan daging korban.

    Para penerima daging korban terdiri daripada golongan asnaf terpilih daripada senarai yang berdaftar di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) serta pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dan timbalan-timbalan menteri.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menghadiri majlis ibadah korban JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menyempurnakan pengagihan daging korban kepada penerima pada majlis ibadah korban Kementerian Kesihatan, kelmarin.
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan agihan daging korban pada majlis ibadah korban JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya. – Gambar oleh Infofoto
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pengagihan daging korban anjuran Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya di Masjid Kampung Bukit, Mukim Ukong.
    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf semasa menyampaikan agihan daging korban.
    Yang Berhormat Haji Nazmi menyempurnakan pengagihan daging-daging korban di Dewan Bina Diri, Pusat Pembangunan Belia, Tanah Jambu. – Gambar serahan KKBS
    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin menyempurnakan pengagihan daging-daging korban kepada penerima.
    Pengiran Mohd Amirrizal menyampaikan agihan daging korban kepada penerima di Dewan PM Dato Shariffuddin, Arkib Negara. – Gambar serahan KKBS
    ATAS & BAWAH: Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak dan Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi antara yang hadir pada majlis ibadah korban di Surau Ad-Difa, Bolkiah Garison, kelmarin. – Gambar serahan serahan Kementerian Pertahanan

    Dr Dayang Siti Norkhalbi menyampaikan agihan daging-daging korban kepada salah seorang penerima pada majlis ibadah korban Dewan Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lapangan Terbang Lama Berakas. – Gambar serahan KKBS

    Di Daerah Tutong, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) bersama anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) turut menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan pengagihan daging-daging korban di Masjid Kampung Bukit, Mukim Ukong, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan pengagihan daging
    korban kepada wakil-wakil ketua keluarga bagi 50 orang asnaf fakir miskin yang berdaftar di bawah MUIB di mukim berkenaan ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

    Pada tahun ini, lapan ekor kerbau telah dijadikan sebagai korban hasil penyertaan daripada kakitangan dan ahli-ahli keluarga Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.

    Kementerian Kesihatan turut mengadakan majlis serupa di Dewan Al-‘Afiah kementerian berkenaan, dengan mengorbankan lima ekor kerbau untuk diagihkan kepada 96 penerima.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan daging korban tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

    Penerima agihan daging-daging korban berkenaan terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan dalam Bahagian V termasuk pekerja bergaji hari serta 41 orang asnaf fakir miskin dari kawasan Mukim Berakas A.

    Sementara itu, empat ekor kerbau telah dikorbankan pada majlis ibadah korban bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya, yang berlangsung di Dewan Tripartite, Ibu Pejabat Jabatan Buruh, hari ini.

    Hadir bagi menyempurnakan pengagihan daging-daging korban ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Penerima agihan daging-daging korban itu terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di bawah tadahan Mukim Berakas, peserta ibadah korban dan warga kerja KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Terdahulu, majlis diserikan dengan Takbir Hari Raya oleh Pasukan Takbir Jabatan Buruh diikuti dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya juga mengadakan majlis ibadah korban di bangunan kementerian berkenaan di mana tiga ekor kerbau telah dikorbankan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Majlis turut diserikan dengan laungan takbir beramai-ramai dan ceramah khas bertajuk ‘Fiqh Ibadah Korban’ oleh pegawai dari KHEU.

    Sementara itu, seramai 420 orang yang terdiri daripada penerima Bantuan Kebajikan Bulanan, anak-anak yatim dan warga Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima daging-daging korban pada majlis ibadah korban KKBS, hari ini.

    Pada tahun ini, tujuh ekor binatang korban iaitu seekor sapi dan enam ekor kerbau telah dikorbankan untuk diagihkan kepada para penerima agihan daging tersebut.

    Pengagihan daging korban pada majlis yang berlangsung di Dewan Bina Diri, Pusat Pembangunan Belia, Tanah Jambu telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan,
    Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis ibadah korban dan seterusnya pengagihan daging korban juga diadakan secara serentak di dua tempat berasingan iaitu di Dewan PM Dato Shariffuddin, Arkib
    Negara yang telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Pengarah Penyelidikan dan Perkembangan Hal Ehwal Antarabangsa Hajah Fauziah binti Haji Abdul Hamid.

    Di Dewan Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lapangan Terbang Lama Berakas pula, pengagihan daging korban telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr Dayang Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Turut mengadakan majlis seumpamanya hari ini adalah Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang berlangsung di Surau Ad-Difa, Bolkiah Garison di mana sebanyak 10 ekor kerbau, seekor lembu dan tiga ekor kambing telah dikorbankan.

    Hadir bagi menyempurnakan pengagihan daging korban ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir. 

    Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Majlis juga diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Pengorbanan Yang Diredai Allah’ sebelum acara pengagihan daging korban kepada para penerima asnaf termasuk penduduk yang berasal dari Mukim Berakas A. 

    Majlis yang mengundang penuh keberkatan itu turut diadakan secara serentak di seluruh surau di garison, perkhemahan dan pangkalan ABDB, termasuk Masjid Pulau Baru-
    Baru.

    Manakala itu, sebanyak 13 ekor lembu telah dikorbankan bagi majlis ibadah korban Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya yang disertai oleh seramai 62 orang pegawai dan kakitangan.

    Daging-daging korban tersebut telah diagih-agihkan kepada seramai 90 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin di bawah tadahan kawasan Mukim Berakas A dan Berakas B.

    Penghantaran terus ke rumah kediaman penerima telah diserahkan melalui wakil-wakil daripada jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawah kementerian itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...