Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Majlis resepsi rai Ulang Tahun Jubli Platinum

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam telah meraikan Ulang Tahun Jubli Platinum dan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II ke-96 tahun dengan majlis resepsi, baru-baru ini.

    Majlis berkonsepkan Pesta Taman itu berlangsung di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof yang dialu-alukan oleh TYT John Virgoe dan isteri, Tuti Suwidjiningsih.

    Dalam ucapannya semasa majlis itu, Tuan Yang Terutama menyentuh mengenai hubungan persahabatan erat antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom (UK) yang menurutnya bersandarkan kepada hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

    Katanya, Negara Brunei Darussalam kini menjadi penyelaras negara-negara ASEAN bagi membantu UK mendalami hubungan bersama ASEAN.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan dan TYT John Virgoe memotong kek pada majlis resepsi yang berlangsung di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, baru-baru ini.
    Kumpulan koir daripada Yippy Tunes mendendangkan lagu komanwel baharu pada majlis tersebut.

    Majlis berkenaan diserikan dengan galeri gambar-gambar ikonik termasuk gambar kenangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan KDYMM Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II semasa baginda mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam sekitar tahun 1972 dan 1998.

    Lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan UK turut dinyanyikan diikuti dengan upacara memotong kek oleh Yang Berhormat Dato dan Tuan Yang Terutama.

    Dalam pada itu, sebuah buku berkisar bangunan bersejarah Kedutaan British di seluruh dunia turut disampaikan kepada tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan.

    Para jemputan turut dihiburkan dengan persembahan daripada Pipers of the 2nd Battalion, Royal Gurkha Rifles (British Forces Brunei) dengan diiringi alunan muzik secara langsung, di samping menikmati menu-menu menarik ala Pesta Taman Istana Buckingham.

    TYT John Virgoe turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada Land Rover Sdn Bhd, Kolej Perdagangan Laksamana, Mini Cooper, Supa Save, NAAFI dan Kensington atas tajaan mereka untuk majlis tersebut.

    Beliau juga merakamkan terima kasih kepada Green Brunei dan Bank Standard Chartered atas sokongan mereka dalam menjadikan acara itu neutral karbon.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...