Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Memartabatkan seni warisan tambatan dastar

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tengkolok, tanjak atau lebih dikenali di kalangan masyarakat kita sebagai dastar, merupakan alas kepala tradisional Melayu yang biasanya dipakai oleh golongan lelaki.

    Kebiasaannya ia diperbuat daripada kain songket yang dilipat dan diikat dalam gaya yang tertentu.

    “Dastar merupakan warisan kita. Pakailah ia sebagai satu kebanggaan menonjolkan betapa indahnya warisan bangsa Melayu kita.

    “Memartabatkannya adalah menjadi tanggungjawab kita bersama selaku generasi pada masa ini agar ia terus dikenali dan semakin dekat di hati anak-anak muda tanah air kita sampai bila-bila,” antara kata-kata salah seorang penggiat seni tambatan dastar tanah air di bawah Perusahaan RulzWarisan, Awang Airul Shahrizam bin Haji Mohd Daud, semasa berkesempatan ditemui penulis, baru-baru ini.

    Dastar merupakan salah satu pakaian tradisi yang masih lagi relevan hingga ke hari ini. Pada zaman sekarang, dastar ini lebih banyak dipakai dalam majlis-majlis yang penuh adat istiadat seperti majlis-majlis kebesaran adat istiadat diraja dan lebih digunakan oleh pengantin lelaki semasa majlis perkahwinan.

    Salah seorang penggiat seni tambatan dastar tanah air di bawah Perusahaan RulzWarisan, Awang Airul Shahrizam semasa berkesempatan ditemui penulis, baru-baru ini.
    Pada zaman sekarang, dastar banyak digunakan oleh pengantin lelaki semasa majlis perkahwinan. – Gambar Facebook Nas Collection – Galeri Pengantin
    Antara jenis dastar hasil sentuhan Awang Airul Shahrizam.

    Kira-kira lebih 20 jenis tambatan dastar Brunei yang terdapat di negara ini sejak dari dahulu lagi antaranya Dastar Taruna, Helang Benari, Singa Menerpa, Layar Bahtera, Nakhoda Belayar, dan Hulubalang Diraja.

    “Dastar Taruna sebagai salah satu dastar asas dalam seni tambatan dastar di negara ini. Sememangnya kreativiti orang lama dalam memberi nama-nama setiap dastar itu sentiasa berkembang kerana kehidupan mereka lebih dekat dengan alam semula jadi dan begitu juga persekitaran mereka. Begitu juga nama-nama dastar itu, mereka kaitkan dengan ciri-ciri ‘si pemakainya’,” kongsi Awang Airul Shahrizam.

    Miliki corak dan tambatan berbeza

    Insan yang berusia 46 tahun ini turut menjelaskan bahawa setiap jenis dastar memiliki corak dan tambatan lipatan yang berbeza-beza, tidak terkecuali juga jenis bahan kain yang digunakan padanya.

    “Pastinya dastar itu memiliki rekaan simpulan tersendiri, namun kebiasaannya apa yang dipelajari secara umumnya mengikuti tradisi pemakaian orang dulu-dulu kita iaitu dastar jenis ‘gah’ untuk golongan yang berkedudukan tinggi dan dastar berjenis ‘rendah’ atau ‘meleleh’ pula khusus bagi mereka yang menghadiri majlis-majlis duka.

    “Begitu juga suatu ketika dahulu, dari segi pemilihan kain di mana dastar bagi orang kebanyakan menggunakan kain biasa tetapi kain songket atau tenunan pula digunakan untuk bahan dastar khusus golongan bangsawan dan pembesar dalam istana,” ujarnya yang turut mengusahakan perusahaannya di bawah Satu Kampung Satu Produk Majlis Perundingan Kampung Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang, Tutong.

    Namun kini, tambah Awang Airul lagi, meskipun zaman silih berganti, apa yang dapat diperhatikan penggunaan dastar, tidak kiralah dari segi rekaan berbentuk ‘gah’ atau ‘rendah’ mahu pun jenis kain biasa atau songket dan tenunan, ia sudah dijadikan ibarat fesyen bagi si pemakai di negara ini terutama di acara-acara tertentu.

    Sumber kecintaan daripada Allahyarham datuk

    Umpama hadirnya bibit-bibit cinta di hati, sejenak Awang Airul Shahrizam turut berkongsi detik mula mengenali seni tambatan dastar ini sememangnya daripada Allahyarham datuk beliau.

    “Mengenang memori terindah bersamanya, di mana beliau sering memperagakan pakaian Melayu dengan dastar khasnya yang pada ketika itu memiliki kedudukan dalam istana.

    “Bukan hanya itu, keterujaan diri menyaksikan kemegahan seperti yang diperagakan oleh golongan pesilat dan penari irama Melayu yang lengkap berpakaian tradisi itu sememangnya sudah mula tumbuh di usia muda lagi.

    “Kecintaan padanya semakin bersemi, dari situ, diri ini mula mencari jalan untuk menggali ilmu pengetahuan mengenai seni pembuatan kraf tangan dastar ini dengan mengikuti kursus dan bengkel sama ada dalam negara mahu pun luar negara sehingga ke detik ini,” katanya.

    Dastar konsep adjustable

    Menyentuh mengenai proses pembuatan dastar, Awang Airul Shahrizam menyatakan bagi satu dastar yang berkualiti memerlukan masa seminggu untuk menyelesaikannya di mana keunikan yang ditampilkan oleh beliau terletak pada sentuhan dastarnya yang lebih berkonsep adjustable.

    “Saya memerlukan masa tujuh hari menghasilkannya kerana setiap rekaan lipatan dastar itu perlu dijahit dengan teliti dan dilapis di dalamnya dengan bahan-bahan tertentu agar ia kelihatan kemas apabila dipakai,” tambahnya.

    Menerusi perusahaan yang dijalankan, beliau menyediakan perkhidmatan tambatan dastar bagi majlis perkahwinan, persembahan mahu pun sebagai cenderamata tertentu. Di samping itu, insan ini begitu aktif dalam melibatkan diri dengan memberikan perkongsian kursus dan bengkel kepada anak-anak muda di negara ini.

    “Hanya satu harapan saya, ilmu yang dicurahkan itu agar dapat dimanfaatkan bersama demi memartabatkan keindahan warisan nenek moyang bangsa Melayu agar ia tidak hilang begitu sahaja.

    “Dari dua ke tiga tahun ini, saya begitu gembira menyaksikan pemikiran masyarakat khususnya golongan belia di negara ini semakin positif di mana mereka tidak lagi kekok untuk memperagakan dastar di khalayak awam pada masa ini bukan hanya di majlis-majlis rasmi bahkan jua acara-acara kekeluargaan,” luahnya penuh kesyukuran.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...