Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Membudayakan minat membaca

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 1 DIS – Sebagai usaha mewujudkan minat yang mendalam antara komuniti dengan buku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menganjurkan Bazar Buku 2022 yang akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Daerah Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan bazar berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, Bazar Buku 2022 merupakan penganjuran kali kedua setelah diadakan pada tahun lepas yang julung-julung kalinya di Daerah Temburong dan Daerah Belait.

    “Insya-Allah, pengungkayahan bazar buku berkenaan akan diangkat sebagai program tahunan jabatan yang disempenakan dengan Sambutan Bulan Bahasa bagi mengukuhkan lagi komitmen teras DBP untuk menjadikan buku, ilmu dan budaya membaca kekal menjadi elemen penting bagi pembudayaan literasi kebangsaan,” tambahnya.

    Beliau turut menjelaskan bazar buku itu dilaksanakan dengan menampilkan konsep pameran dan jualan secara kembara dan bersahabat dengan masyarakat setempat bagi membolehkan penduduk daerah ini memiliki akses mudah dan cepat untuk mendapatkan buku serta keperluan yang lain.

    Bazar Buku 2022 menampilkan konsep pameran dan jualan secara kembara dan bersahabat dengan masyarakat setempat.

    Selain pameran dan jualan buku, Awang Suip turut menyatakan platform bazar buku itu juga memberikan ruang bagi perkembangan aktiviti mikroekonomi khususnya keusahawanan tempatan untuk mengetengahkan pameran dan jualan produk-produk tempatan.

    Majlis turut diselajurkan dengan pelancaran sembilan buah buku terbaharu terbitan DBP dan penyerahan buku-buku berkenaan kepada para penulis yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Menurut DBP, penganjuran bazar buku pada tahun ini membawa konsep kembara atau menjengah ke luar daerah, iaitu menyapa komuniti dengan mengangkat tema ‘Kembara Buku Santuni Masyarakat’ dengan harapan untuk menambah dekat jalinan perhubungan dengan masyarakat setempat dan sekitarnya.

    Ia juga merupakan satu inisiatif dan komitmen DBP dalam mendayaupayakan program membaca dan literasi maklumat di samping menjayakan pengisian kegiatan Festival Disember Brunei ke-6.

    Pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang bazar berkenaan antaranya Peraduan Mewarna Lukisan, Acara Riadah Berbasikal Santai, dan Majlis Perkampungan Perpustakaan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...