Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Memperkasa jiwa kemerdekaan merentas arus globalisasi

    Oleh Nurdiyanah R.

    Seiring dalam meniti segala matlamat Wawasan Brunei 2035, satu perkara yang perlu kita genggam dalam jiwa raga sebagai anak bangsa ialah perjuangan dan pengorbanan kita dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Baldatun, Tayyibatun, Warabbun Ghafur, iaitu negara yang baik (aman makmur), yang mendapatkan keredhaan Allah SWT yang Maha Pengampun.

    Kesungguhan semangat untuk kita sentiasa bersatu menitikberatkan nilai-nilai kebajikan dalam kehidupan sehari-hari ini jelas terbukti apabila kita meneliti panji-panji yang terletak di tengah-tengah bendera negara terdapatnya slogan kata dalam Bahasa Arab iaitu Addaa imuna al muhsinuna bil huda yang membawa maksud sentiasa melaksanakan kebajikan dengan petunjuk Allah.

    Inilah antara yang perlu kita syukuri selaku rakyat tanah air ini yang bukan hanya semata-mata untuk memperolehi keamanan dan kemakmuran negara bahkan juga sentiasa berlumba-lumba menjadi insan-insan yang terus bangkit berusaha mengerjakan perkara-perkara kebaikan sejajar dengan cahaya Islam.

    Perkara-perkara berkenaan antara yang diungkapkan oleh Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk semasa menyampaikan ucaptama semasa berlangsungnya Webinar Forum Bersama Belia bertemakan ‘Menghargai Kemerdekaan Negara’ anjuran Pusat Sejarah Brunei (PSB) dengan kerjasama Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) dan Majlis Belia Brunei (MBB) selaku rakan strategik PSB serta disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), baru-baru ini.

    Tempuhi cabaran dengan persiapan teguh

    Sehubungan itu, Dr Haji Mohammad Shahrol turut menyatakan Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran-cabaran globalisasi seperti isu media sosial, masalah sosial, ideologi dan sebagainya. Dalam menempuh arus zaman moden di mana kisaran cabaran dan masalah sedemikian kini begitu mudah diperolehi kerana segalanya berada di hujung jari kita.

    Dr Haji Mohammad Shahrol turut menyatakan Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran-cabaran globalisasi seperti isu media sosial, masalah sosial, ideologi dan sebagainya.
    Webinar Forum Bersama Belia bertemakan ‘Menghargai Kemerdekaan Negara’ anjuran PSB dengan kerjasama PESEBAR dan MBB selaku rakan strategik PSB serta disokong oleh KKBS, telah diadakan baru-baru ini.

    Ini sedikit sebanyak mampu mempengaruhi pemahaman masyarakat di negara ini terutamanya golongan belia sehingga boleh terikut-ikut dengan apa yang disampaikan oleh dunia luar tanpa memikirkan baik dan sesuai atau tidaknya diaplikasi di negara kita sendiri. Hal berkenaan hakikatnya mampu mewujudkan situasi dilema dalam jiwa dan minda para belia kita bagi mempengaruhi keyakinan mereka dalam menentukan hala tuju kehidupan sehari-hari.

    Tegasnya lanjut, untuk menghadapi cabaran ini, kita memerlukan persiapan-persiapan yang rapi. Dengan adanya Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB); dan Melayu Islam Beraja (MIB) iaitu nilai-nilai yang perlu dipertahankan menerusi adanya empat buah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dan beberapa buah institusi pengajian tinggi yang lain. Di samping itu, persiapan ke arah memperkasakan dan memelihara apa yang sudah kita miliki pada masa kini melalui pengamalan nilai-nilai MIB menerusi penghayatan sejarah adalah begitu penting disemai dalam jati diri anak bangsa dari semasa ke semasa.

    Tanggungjawab sebagai anak watan

    Menyentuh mengenai tanggungjawab kita sebagai anak-anak watan, Dr Haji Mohammad Shahrol menegaskan adalah sewajarnya kita mengimbas kembali sebuah perjuangan sejarah negara yang membuktikan selepas Perang Dunia II iaitu dari tahun 1939 hingga 1945, dari situlah bermulanya proses pembentukan negara.

    “Proses pembentukan negara itu pastinya situasi yang tidak pernah merasainya namun hanya orang-orang yang terdahulu pernah mengalami betapa susah dan peritnya pengorbanan mereka untuk menjadi Negara Brunei Darussalam sebagaimana yang telah kita nikmati sehingga ke detik ini, lebih-lebih lagi setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984,” ujarnya.

    Oleh yang demikian, demi mempertahankan segala perjuangan sejarah yang telah dilaksanakan selama ini, tambahnya, salah satu perkara yang perlu kita fahami dengan jiwa yang tulus ialah nilai-nilai kebruneian sebagai benteng yang teguh untuk kita berdepan dengan cabaran-cabaran yang pasti datang silih berganti dalam meredah proses globalisasi yang sememangnya mencabar kefahaman dan penghayatan MIB.

    “Usaha yang dapat kita laksanakan antaranya melalui pendidikan yang menekakan nilai-nilai Islam bersatu dalam kesetiaan kepada raja dan tradisi bangsa Melayu. Oleh itu, kita selaku belia mempunyai peranan sebagai aset terpenting dan tonggak kemajuan sesebuah negara yang mana juga sebagai agen perubahan dan harapan nusa bangsa untuk meneruskan pembangunan dan menentukan nasib masyarakat serta masa depan negara.

    “Perlu menjadi ingatan bersama tanggungjawab kita bukanlah sebagai tanggungjawab yang biasa-biasa sahaja tetapi hakikatnya para belia perlu menekankan bahawa dalam diri kita di mana kita mempunyai tanggungjawab yang luar biasa untuk sama-sama berjuang menjadikan Negara Brunei Darussalam mampu bersaing di persada dunia,” tekannya.

    Menghargai kemerdekaan negara

    Dalam kesempatan itu, Dr Haji Mohammad Shahrol antaranya menyentuh peranan dan tanggungjawab golongan belia tanah air dalam menghargai kemerdekaan negara yang sebenarnya mampu dicapai jika kita menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di samping memahami nilai-nilai kemerderkaaan dengan merungkai sejarah negara serta mengenggam amanah sebagai seorang belia demi sama-sama berjuang ke arah pembangunan agama, bangsa dan juga negara.

    “Biarlah kita menjadi orang Brunei yang berpegang kepada jati diri Brunei. Biarlah kita berbangga dengan apa yang miliki gunakanlah Bahasa Melayu dan jadikanlah agama Islam yang sentiasa kita laungkan setiap hari. Dengan istilah kita selama ini, demi memperkasakan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dengan sistem pemerintahan beraja yang perlu kita pertahankan sampai bila-bila.

    “Ini jelas terbukti melalui sistem MIB ini, negara kita berada dalam aman dan damai bukan kemajuan semata-mata yang kita inginkan tetapi keamanan dan kemakmuran juga merupakan hadiah yang begitu berharga yang Allah SWT berikan kepada kita,” ucapnya tulus semasa mengakhiri ucaptama semasa berlangsungnya webinar forum bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 yang turut melibatkan lebih 150 orang peserta secara maya menerusi aplikasi Zoom, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...