Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    ‘Menduniakan Bahasa Melayu’

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei diteruskan lagi hari ini dengan mengupas tajuk ‘Menduniakan Bahasa Melayu: Peluang dan Tantangannya’.

    Topik berkenaan dibentangkan oleh pemakalah dari Indonesia, iaitu Profesor Dr Mahsun M.S., juga selaku guru besar, Bidang Linguistik, Universitas Mataram.

    Siri pembentangan kali ke-22 yang dikendalikan oleh Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP Brunei telah berlangsung secara maya melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom dengan dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

    Menerusi pembentangan berkenaan, antara yang dihuraikan ialah Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa dalam rumpun bahasa Austronesia yang sangat penting kerana rekonstruksi bahasa purba Austronesia mempunyai bukti sebagai pendukung bahasa tersebut.

    Selain itu, keadaan secara ekologi penting dalam mempertahankan dan mengembangkan Bahasa Melayu.

    Profesor Dr Mahsun M.S turut menjelaskan Bahasa Melayu mempunyai pelbagai varian dan penamaannya mengikut kemajmukan penuturnya. Bahkan Bahasa Melayu tersebut tidak kurang hebat berbanding dengan Bahasa Inggeris.

    Bahasa Melayu turut digunakan sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa nasional dalam beberapa buah negara, iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

    Seramai 161 orang menghadiri KABSBM secara maya yang terdiri daripada Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Sariani binti Haji Ishak, para pemakalah dari dalam dan luar
    negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

    Profesor Dr Mahsun M.S semasa menyampaikan pembentangan pada siri kongres yang diadakan secara maya, kelmarin. – Gambar serahan DBP Brunei
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...