Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Mengenali jenis-jenis mata kail

    Oleh Raz AS

    Seiring dengan peredaran zaman, dengan kemunculan banyak inovasi, ciptaan dan teknik baharu dalam dunia pancing kini, setiap kaedah pancingan dan setiap jenis lure dikatakan memerlukan penggunaan mata kail khusus yang berbeza antara satu dengan yang lain.

    Hampir setiap tahun ada sahaja mata kail dengan reka bentuk baharu yang dikatakan lebih hebat berbanding sebelumnya oleh pengilang-pengilang dan profesional-profesional yang mengiklankannya.

    Oleh itu tidak hairanlah kedai-kedai peralatan pancing yang kita kunjungi ada yang menyediakan sehingga puluhan jenis mata kail dalam bentuk dan saiz yang berbeza.

    Oleh yang demikian, memilih mata kail yang sesuai boleh menjadi satu hal yang memeningkan kepala. Ini bukan sahaja dialami oleh pemancing baharu, bahkan kadang-kadang otai-otai dan pemancing profesional pun sama-sama bergaru kepala.

    Secara amnya, pemilihan mata kail bergantung pada jenis ikan sasaran, peralatan memancing, teknik dan keadaan perairan tempat memancing.

    Memilih mata kail yang sesuai boleh menjadi satu hal yang memeningkan kepala. Ini bukan sahaja dialami oleh pemancing baharu, bahkan kadang-kadang otai-otai dan pemancing profesional pun sama-sama bergaru kepala. – Agensi
    Weedless hook mempunyai dawai yang bertujuan untuk melindungi hujung mata kail daripada tersangkut pada tumbuhan atau struktur dalam air. – Agensi

    Contohnya, untuk ikan besar memerlukan mata kail yang besar dan tegap berbanding mata kail yang digunakan untuk memancing spesies ikan yang kecil.

    Selain itu peralatan joran, reel dan tali yang digunakan juga menjadi faktor kepada pemilihan saiz dan jenis mata kail.

    Bagi peralatan pancing set berat sekiranya mata kail yang digunakan terlalu kecil atau berbatang nipis, mata kail berkemungkinan akan tercabut keluar dari mulut ikan atau lurus ketika pertarungan, sebaliknya peralatan set ringan pula tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk mata kail bersaiz besar dan berbatang tebal menembusi mulut ikan.

    Bagi keadah pancingan di kawasan berstruktur atau dipenuhi tumbuhan, di mana batang joran karau dan tali tanpa renggangan seperti tali sulam digunakan dan pemancing perlu memaksa ikan keluar dari tempat persembunyiannya, penggunaan mata kail tebal yang mempunyai hook gap yang luas dan mata tajamnya yang panjang dapat memastikan mata kail tertancap di bahagian keras dalam mulut ikan.

    Jenis-jenis mata kail datang dalam pelbagai jenis, ada yang mata lubangnya lengkok ke depan, ke belakang dan kebanyakannya lurus; warna, saiz, bentuk dan mata tajamnya seperti mata tunggal, double atau treble.

    Walaupun sebenarnya tidak ada reka bentuk mata kail yang sempurna untuk setiap jenis pancingan namun beberapa jenis daripadanya terbukti tidak lapuk ditelan zaman.

    J-Hook
    Mata kail jenis J-Hook merupakan jenis mata kail yang paling dikenali ramai pemancing. Seperti namanya, mata kail je nis ini berbentuk huruf J, dengan batangnya yang lurus dan panjang.

    Mata kail tradisional ini sudah digunakan sejak berkurun lagi dan masih popular digunakan di seluruh dunia, terutamanya bagi penggunaan umpan konvensional.

    Kadang-kadang batangnya mempunyai duri-duri halus untuk mengelakkan umpan daripada mudah terlucut.

    Tersedia dalam pelbagai saiz dan ketebalan, mata kail J-Hook boleh digunakan untuk ikan kecil dan besar.

    Batangnya yang panjang bukan sahaja boleh menyelamatkan tali daripada putus akibat terkena gigi ikan tajam, bahkan ia juga memudahkan pemancing untuk melepaskannya daripada ikan yang bermulut kecil.

    Circle Hook
    Circle Hook atau juga dikenali sebagai mata kail lingkar dipopularkan oleh pemancing-pemancing dari Jepun. Kelebihan mata kail ini adalah ia tidak memerlukan pemancing melakukan hook set.

    Apabila ikan menelan umpan dan memusingkan kepalanya, mata kail ini akan tertancap secara automatik pada mulut ikan, terutama di bahagian sisi mulutnya dan senang untuk dilepaskan.

    Circle Hook sangat sesuai untuk pelbagai varieti pancingan menggunakan umpan konvensional terutama umpan bersaiz besar untuk menyasarkan ikan-ikan besar.

    Offset Hook
    Mata kail Offset-Hook mempunyai reka bentuk unik di mana batangnya bengkok berhampiran lubang tempat mengikat.

    Mata kail ini popular digunakan bersama umpan tiruan jenis soft plastic, di mana mata tajamnya berada dalam kedudukan selari dengan badan umpan sementara lubang tempat mengikatnya tersembunyi dalam bahagian kepala. Ini memberikan aksi natural kepada soft plastic tersebut dan menjadi lebih anti sangkut.

    Weedless Hook
    Weedless Hook merupakan jenis mata kail yang mempunyai dawai besi di bahagian batangnya menuju ke mata tajamnya. Dawai besi ini bertujuan untuk melindungi hujung tajam mata kail daripada tersangkut pada tumbuhan dan struktur.

    Ia boleh digunakan bersama umpan konvensional atau umpan tiruan.

    Double Hook
    Double Hook mempunyai mata tajam yang berkembar dan selalunya digunakan bersama umpan katak tiruan.

    Batangnya yang tebal membolehkan pemancing menarik keluar ikan-ikan yang bersembunyi di kawasan bertumbuhan.

    Kadang-kadang ia juga digunakan sebagai trailer hook untuk sesudu, spinner bait dan juga umpan hidup.

    Treble Hook
    Treble Hook merupakan jenis mata kail yang biasa dilihat bersama umpan tiruan jenis keras atau hard bodied yang boleh dipasang dengan split ring.

    Sebahagian pemancing akan menukarkan treble hook umpan tiruan mereka kepada saiz yang lebih besar untuk menyasarkan ikan besar.

    Terdapat juga pemancing yang menukarkannya menjadi mata kail tunggal atau menanggalkan treble di bahagian belakang untuk mengelakkan risiko cedera ketika mengendalikan ikan pada waktu malam.

    Tidak kiralah apa pun jenis mata kail awda ingin beli, perkara utama yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat pembelian adalah ketajaman mata kail dan kebolehan mata kail tersebut mengekalkan ktajamannya.

    Salah satu cara untuk mengetahui sama ada sesuatu mata kail itu cukup tajam atau tidak adalah dengan cara meletakkan bahagian hujung tajam mata kail itu di atas kuku.

    Setelah itu mata kail tersebut diseretkan, jika ia tidak meninggalkan bekas atau kesan pada kuku bermakna mata kail itu tidak cukup tajam, manakala jika mata kail itu melekat pada kuku ini bermakna mata kail tersebut berada dalam kondisi yang sangat tajam.

    Ukuran mata kail tidak mempunyai standard industri, namun secara amnya kebanyakan pengilang menggunakan sistem penomboran yang sama untuk mengkategorikan saiz mata kail yang dihasilkan mereka.

    Semakin besar nombor tersebut semakin kecillah ukuran mata kail itu, contohnya saiz 6 adalah lebih kecil daripada mata kail saiz 4 dan saiz 1 lebih besar daripada 4.

    Walau bagaimanapun ia tidak bermakna saiz 1 itu adalah yang paling besar, setelah itu ia akan ditambahkan dengan nombor ‘0’ dan urutannya pula sebaliknya, contohnya 3/0 lebih besar daripada 2/0 dan 2/0 lebih besar daripada 1/0.

    Akan tetapi perlu diingat sekali lagi nombor tersebut bukanlah standard industri, contohnya mata kail saiz 1 daripada jenama Mustad mungkin jauh lebih besar ukurannya berbanding saiz 1 daripada jenama Fire Eagle meskipun ia daripada jenis mata kail yang sama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...