Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    ‘Menggigil kesejukan tunggu air banjir surut’

    DATU ODIN SINSUAT, FILIPINA – Menjelang tengah malam ketika air banjir mula naik di sekelilingnya, ibu kepada tiga orang anak, Chonalyn Sapi bergegas mendapatkan perlindungan di sebuah gereja kecil di kampung tempatan yang terletak di wilayah selatan Filipina Maguindanao del Norte, hanya mendapati ia telah pun penuh sesak dengan jiran dari kampungnya.

    Terdesak untuk mendapatkan tempat berteduh sebelum ribut tropika Nalgae melanda, dia dan penduduk lain berlari mendaki bukit dalam gelap, ketika batu tongkol, lumpur dan reruntuhan puing berderam-derum mengalir turun dari gunung dalam runtuhan tanah besar-besaran yang menimbus perkampungan desa berhampiran Kusiong, tempat tinggal mereka.

    “Kami tidak tidur sepanjang malam selepas hujan mula turun,” beritahu Sapi, salah seorang mangsa banjir, kepada AFP.

    “Pada tengah malam, kawasan sekeliling sudah dibanjiri lumpur, bukan air. Sesetengah penduduk berlari ke sekolah, sementara yang lainnya memilih gereja. Sesetengahnya pula telah tidur.”

    Sapi berkata mereka yang sampai ke bangunan sekolah tinggi terselamat, namun mereka yang berada di gereja – termasuk dua saudaranya – tertimbus di bawah lumpur.

    Anggota menyelamat membawa mayat dalam beg mayat, dikeluarkan daripada runtuhan tanah di kampung Kusiong, Datu Odin Sinsuat, wilayah selatan Filipina. – AFP
    Seorang penduduk berjalan di depan sebuah rumah yang musnah dalam runtuhan tanah di kampung Kusiong di Datu Odin Sinsuat di wilayah Maguindanao, Filipina. – AFP

    Penduduk berkumpul bersama barang-barang kepunyaan mereka di depan rumah yang rosak di kampung Kusiong. – AFP
    Seorang penduduk memikul seguni beras di jalan berlumpur bersebelahan rumah yang rosak dalam runtuhan tanah di kampung Kusiong. – AFP

    “Kami tidak mempunyai sebarang lampu suluh. Keadaan benar-benar gelap-gelita. Kami terdengar batu tongkol berderam-derum bergolek menuruni lereng gunung. Awda tidak mungkin tersilap mengenainya,” ujarnya.

    Namun dia, suami dan dua anak mereka bernasib baik dan terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Dalam keadaan basah kuyup dan menggigil kerana kesejukan, mereka menunggu selama tiga jam sehingga air banjir surut di lereng bukit.

    Sebelum fajar menyingsing, hujan telah reda, dan keluarga Sapi kembali semula ke kampung mereka, mengharungi air yang deras alirannya.

    Melihat menerusi gambar yang diambil dari dron, kesan runtuhan tanah adalah mengejutkan. Ia mewujudkan timbunan reruntuhan besar bersamaan dengan saiz 10 padang bola sepak, di bawah beberapa kemuncak gunung yang cantik dihampari rumput kuning hijau.

    Anggota menyelamat dalam pakaian warna jingga jabatan bomba tempatan dan berbekalkan penyodok mencari mayat di bawah kepingan atap besi rumah yang separuh tertimbus dalam batu dan lumpur.

    Kira-kira 60 buah rumah telah tertimbus, sementara beberapa buah lagi yang diperbuat daripada bahan lebih ringan dihanyutkan ke jalan raya di bawah, beritahu Leftenan-Kolonel Dennis Almorato, jurucakap untuk pasukan tentera yang ditugaskan membantu dalam usaha menyelamat itu.

    “Kawasan itu terletak di kaki gunung. Hujan lebat mungkin telah melembutkan tanah di lereng bukit,” beritahu Almorato kepada AFP.

    14 mayat telah ditemui di kampung itu setakat ini. Mereka adalah antara 40 yang disahkan terkorban dalam beberapa siri banjir kilat dan runtuhan tanah yang melanda kampung selatan Filipina sebelum Nalgae mendarat pada Sabtu.

    Datuk bandar berhampiran kampung, Datu Odin Sinsuat memberitahu AFP sehingga 100 penduduk mungkin tertimbus dalam runtuhan.

    Mercedes Mocadef berdiri sambil mengawal mayat anak saudaranya, seorang daripada tiga kadaver yang dikeluarkan oleh anggota menyelamat pada Sabtu.

    “Jika dia meninggal akibat penyakit, ia kurang menyakitkan,” kata Mocadef, menambah ibu mangsa – iaitu sepupunya – juga terkorban, mayatnya disimpan di sebuah rumah mayat tempatan.

    Wanita berkenaan adalah anggota Teduray, salah satu daripada puak penduduk asli di Filipina yang hidup melarat dan tersisih daripada masyarakat.

    Sapi berkata mereka biasa tinggal di sepanjang pantai, di antara barisan tempat peranginan pantai yang terletak kira-kira setengah kilometer di bawah. Bagaimanapun pemilik tempat peranginan itu telah memindahkan mereka ke Kusiong dua tahun lalu.

    Kumpulan penduduk baharu itu tiba dan menjalankan aktiviti menebang pokok di lereng gunung untuk menanam pokok kelapa dan jagung sebagai sumber mata pencarian mereka.

    Banyak batang pokok kelapa menggelongsor menuruni gunung semasa runtuhan tanah dan menghempap rumah mereka.

    “Sekiranya orang menawarkan kami tempat tinggal baharu, kami mungkin akan menolaknya,” kata Sapi.

    “Kami rela tinggal di kawasan gunung.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...