Monday, May 6, 2024
22.8 C
Brunei

    -

    Mukim telisai undi penghulu, ketua Kg

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 21 OKT – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Telisai dan Ketua Kampung Telisai telah diadakan hari ini di Dewan Sekolah Rendah Tumpuan Telisai menggunakan kaedah kertas undi. 

    Manakala, pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula pada 19 Oktober lalu bagi jawatan Ketua Kampung Telisai dan bagi jawatan Penghulu Mukim Telisai pula dibuka mulai hari ini sehingga 23 Oktober.

    Hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohd Amirul Hadi bin Haji Mohd Tajudin selaku pengerusi majlis.

    Calon tunggal yang layak bagi mengisikan jawatan Penghulu Mukim Telisai ialah Haji Haslan bin Haji Shahbudin, berusia 55 tahun. Sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan, beliau pernah bertugas sebagai pegawai hal ehwal masjid di Jabatan Hal Ehwal Masjid.

    Manakala, calon tunggal yang layak bagi mengisikan jawatan Ketua Kampung Telisai ialah Awang Sofian bin Haji Mohd Yusof, berusia 47 tahun dan merupakan Penolong Setiausaha Majlis Perundingan Kampung Telisai.

    Antara penduduk Kampung Telisai dan Kampung Danau membuang undi di Dewan Sekolah Rendah Tumpuan Telisai menggunakan kaedah kertas undi, kelmarin.

    Majlis pengundian dan pemilihan calon Penghulu Mukim Telisai adalah khusus bagi penduduk Kampung Telisai, Kampung Danau dan sekitarnya selain daripada pengundian dan pemilihan bagi calon Ketua Kampung Telisai.

    Seramai 232 orang penduduk Kampung Telisai daripada seramai 250 orang yang berdaftar dan layak mengundi telah mengundi calon untuk mengisikan kekosongan jawatan Ketua Kampung Telisai. Pengundian telah menyaksikan sebanyak 228 undi bersetuju dan empat undi tidak bersetuju.

    Turut hadir pada majlis itu ialah pegawai kanan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), ketua kampung dan pemangku-pemangku ketua kampung di bawah Mukim Telisai beserta penduduk kampung.

    Keputusan pengundian akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN bagi proses selanjutnya.

    Sementara itu, Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Telisai dengan menggunakan kaedah kertas undi akan diteruskan lagi pada 23 Oktober bagi penduduk Kampung Bukit Beruang dan RPN Bukit Beruang di Dewan Kemasyarakatan RPN Bukit Beruang bermula 8 pagi hingga 2 petang, dan diselajurkan dengan Majlis Pengundian Pemilihan Calon Ketua Kampung Bukit Beruang dan RPN Bukit Beruang (Asal) dan Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 3.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemantau sekatan akan gagal – Duta PBB Korea Utara

    PYONGYANG, 5 MEI - Duta Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata usaha untuk menubuhkan panel baharu bagi memantau sekatan terhadap negaranya akan...